Skip to main content

Politik

PRN Johor: Senarai calon tular palsu - SU BN Johor

KUALA LUMPUR, 17 Jan -- Ketua Bahagian UMNO Tebrau, Datuk Abdul Halim Suleiman ketika sesi perbahasan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Dewan Merdeka hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Abdul Halim berkata sebarang pengumuman rasmi mengenai calon BN pada PRN Johor ke-16 ini hanya akan dibuat melalui saluran rasmi parti pada masa yang sesuai. - Gambar Bernama

JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) Johor menafikan kesahihan satu senarai nama calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang tular menerusi media sosial sejak petang Selasa. 

Setiausaha BN Johor Datuk Abdul Halim Suleiman berkata senarai yang tersebar itu palsu dan sengaja direka oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mencetuskan spekulasi serta mengelirukan ahli parti.

Beliau berkata proses pemilihan calon untuk bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) belum dimuktamadkan oleh pucuk pimpinan tertinggi BN.

“Saya minta semua pihak, terutama ahli dan penyokong BN agar tidak terpengaruh dengan senarai yang tular itu. Ia adalah rekaan semata-mata. Fokus kita (BN) sekarang adalah memperkemas jentera di peringkat akar umbi," katanya ketika dihubungi malam tadi. 

Abdul Halim berkata sebarang pengumuman rasmi mengenai calon BN pada PRN Johor ke-16 ini hanya akan dibuat melalui saluran rasmi parti pada masa yang sesuai.

Terdahulu, tular senarai nama calon BN yang kononnya akan bertanding di 56 kerusi DUN, termasuk nama penyandang kerusi DUN Machap, Datuk  Onn Hafiz Ghazi. 

Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata senarai calon dikemukakan kepadanya akan dimuktamadkan setelah beliau mengadakan perbincangan bersama pimpinan parti komponen BN.

DUN Johor dibubarkan pada 1 Jun bagi memberi laluan kepada PRN ke-16, menyaksikan BN bakal  bertanding di kesemua 56 kerusi.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement