CANBERRA: Populasi penduduk Australia mencecah angka 28 juta orang pada Selasa, menurut biro statistik kebangsaan, lapor Xinhua.
Biro Statistik Australia (ABS) menganggarkan berdasarkan trend pertumbuhan semasa, populasi negara itu mencapai paras 28 juta sekitar pukul 6 pagi Waktu Standard Timur Australia pada Selasa, iaitu dua tahun selepas jumlah penduduknya melepasi angka 27 juta orang pada 2024.
Menurut ABS, secara purata, seorang individu dari luar negara tiba untuk menetap di Australia pada setiap 59 saat, manakala satu kelahiran direkodkan bagi setiap dua minit 16 saat.
Biro itu turut menganggarkan satu kematian berlaku pada setiap tiga minit 33 saat, manakala seorang penduduk berhijrah dari Australia untuk menetap di luar negara bagi setiap dua minit 35 saat.
ABS mengunjurkan jumlah penduduk negara berkenaan akan mencapai angka 30 juta orang menjelang tahun 2031.
Dalam pada itu, ABS dijadualkan melaksanakan bancian penduduk kebangsaan yang pertama sejak 2021 pada Ogos depan.
--BERNAMA-XINHUA