Skip to main content

Dunia

Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin pindahkan 33 pesakit Gaza melalui pintu sempadan Rafah

Egyptian ambulances go through the Rafah border crossing on the Egyptian side in Rafah, Egypt, February 10, 2026. Picture taken with a mobile phone. REUTERS/Stringer
Persatuan itu menyatakan bahawa operasi pemindahan berkenaan melibatkan 73 orang, merangkumi 33 pesakit dan 40 waris atau pengiring. - Foto fail/REUTERS

GAZA: Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) menjalankan operasi pemindahan perubatan baharu pada Selasa untuk pesakit dari Semenanjung Gaza melalui pintu sempadan Rafah, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).

Langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha kemanusiaan yang berterusan bagi membolehkan pesakit mendapat rawatan perubatan pakar di luar negara.

Persatuan itu menyatakan bahawa operasi pemindahan berkenaan melibatkan 73 orang, merangkumi 33 pesakit dan 40 waris atau pengiring. Kumpulan itu dikumpulkan di Hospital Pemulihan Perubatan persatuan berkenaan sebelum dibawa ke pintu sempadan Rafah.

Bulan Sabit Merah berkata pasukannya mengendalikan aspek pengurusan, pengangkutan dan sokongan perubatan untuk kumpulan yang dipindahkan itu dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta pihak berkuasa kesihatan berkaitan bagi memastikan perjalanan mereka selamat dan teratur.

Menurut persatuan itu, penglibatannya dalam operasi pemindahan perubatan berkenaan adalah sebahagian daripada misi kemanusiaan berterusan untuk menyokong para pesakit serta memudahkan akses mereka kepada rawatan yang diperlukan melalui bantuan logistik dan perubatan sepanjang proses pengangkutan.

Operasi berkenaan dilakukan di tengah-tengah cabaran getir yang dihadapi oleh sektor penjagaan kesihatan Gaza serta keperluan berterusan untuk memindahkan pesakit, terutamanya mereka yang berada dalam keadaan kritikal, bagi mendapatkan rawatan di hospital dan pusat perubatan pakar di luar wilayah itu.

Pertubuhan kesihatan dan kemanusiaan terus mempergiat usaha bagi memastikan pemindahan pesakit yang memerlukan rawatan pakar dapat dilakukan ketika sistem penjagaan kesihatan Gaza menghadapi tekanan hebat ekoran serangan berterusan Israel, kemusnahan besar-besaran infrastruktur perubatan, serta peningkatan jumlah pesakit terluka dan sakit yang memerlukan penjagaan perubatan lanjutan.

-- BERNAMA-WAFA

 

Must Watch Video

Advertisement