Skip to main content

Dunia

Iran adakan upacara pengebumian Pemimpin Agung Allahyarham Khamenei di tiga bandar

A woman holds an image of late Iranian Supreme Leader Ayatollah Ali Khamenei during a rally in Tehran, Iran, May 29, 2026. Majid Asgaripour/WANA (West Asia News Agency) via REUTERS
Upacara penghormatan terakhir selama tiga hari telah dirancang dan perarakan pengebumian di Tehran dijangka berlangsung sekurang-kurangnya 24 jam. - Foto REUTERS

ISTANBUL: Upacara pengebumian Pemimpin Agung Iran, Allahyarham Ayatollah Ali Khamenei, yang terkorban dalam serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel pada 28 Februari lepas, akan diadakan di Tehran, Qom dan Mashhad, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan seorang pegawai kanan perbandaran pada Selasa.

Timbalan Datuk Bandar Tehran bagi Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Mohammad Amin Tavakkoli-Zadeh berkata pihak berkuasa sedang membuat persiapan untuk menerima kehadiran antara 15 juta hingga 20 juta orang di ibu negara, lapor agensi berita rasmi Iran, IRNA.

Beliau berkata Khamenei akan dikebumikan di makam Imam Reza di Bandar Mashhad yang terletak di timur laut negara itu, selaras dengan wasiat serta saranan daripada yang rapat dengannya.

Tavakkoli-Zadeh berkata permohonan daripada wilayah-wilayah di seluruh Iran untuk menganjurkan upacara pengebumian dan peringatan masih berterusan, dan majlis berkenaan berkemungkinan besar akan diadakan pada penghujung bulan Zulhijjah, iaitu bulan ke-12 dalam kalendar Islam.

Beliau berkata upacara penghormatan terakhir selama tiga hari telah dirancang dan perarakan pengebumian di Tehran dijangka berlangsung sekurang-kurangnya 24 jam.

Menurut pegawai itu, Mashhad dijangka menerima kunjungan besar-besaran pelawat dari negara-negara jiran termasuk Pakistan, Afghanistan, India dan Bangladesh, serta wilayah Kashmir.

Tavakkoli-Zadeh berkata majlis pengebumian berkenaan bakal mencatatkan skala luar biasa yang belum pernah berlaku sebelum ini, dengan kehadiran para pengiring jenazah dari seluruh dunia Islam.

Ketegangan wilayah meningkat pada akhir Februari lepas selepas AS dan Israel melancarkan serangan udara ke atas Iran yang mengorbankan lebih 3,000 orang, termasuk Khamenei, komander kanan tentera serta pegawai-pegawai kerajaan.

Iran bertindak balas dengan melancarkan serangan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan Israel serta aset berkaitan AS di rantau Teluk, di samping menutup Selat Hormuz yang merupakan laluan utama penghantaran minyak global.

Gencatan senjata yang diusahakan melalui pengantaraan Pakistan mula berkuat kuasa pada 8 April, namun rundingan susulan di Islamabad gagal mencapai penyelesaian kekal. Sejak itu, kedua-dua belah pihak terus bertukar-tukar cadangan dan cadangan balas yang bertujuan untuk menyambung semula rundingan terus bagi menamatkan konflik berkenaan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement