MEKAH: Lembaga Tabung Haji (TH) memulakan operasi City Check-In (CCI) bagi musim haji tahun ini sebagai usaha memudahkan pengurusan bagasi dan perjalanan pulang jemaah haji Malaysia.
Timbalan Pengarah Operasi Pengendalian Jemaah Haji, Mohd Ridzuan Yusoff berkata, pelaksanaan CCI membolehkan jemaah haji menyerahkan bagasi lebih awal, iaitu 48 jam sebelum berlepas ke lapangan terbang.
Menurut Ridzuan, kemudahan itu mengurangkan kesulitan jemaah haji yang sebelum ini perlu membawa beg besar ke lapangan terbang.
“CCI adalah hasil kerjasama antara Tabung Haji dan syarikat penerbangan bagi memudahkan jemaah. Mereka hanya perlu membawa bagasi dari bilik ke lokasi yang ditetapkan di bangunan penginapan untuk proses daftar masuk awal.
“Dengan adanya CCI, jemaah tidak perlu lagi membawa bagasi semasa menaiki bas ke lapangan terbang dan urusan daftar masuk di lapangan terbang juga menjadi lebih pantas,” katanya ketika ditemui di sini.
Ridzuan berkata, sepanjang operasi itu, jemaah akan diberikan taklimat terperinci bagi memastikan mereka mematuhi semua peraturan yang ditetapkan oleh Tabung Haji dan syarikat penerbangan.
"CCI berbeza dengan sistem Makkah Route, yang melibatkan proses imigresen Arab Saudi dilakukan lebih awal sebelum berlepas ke Malaysia.
“Bagi CCI, kami hanya menguruskan bagasi. Jemaah akan ambil semula beg mereka apabila tiba di tanah air. Manakala Makkah Route pula melibatkan proses imigresen,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ridzuan menegaskan had bagasi yang dibenarkan adalah maksimum 30 kilogram bagi setiap jemaah, walaupun mereka dibenarkan membawa dua beg.
“Sebagai contoh, satu beg 12 kilogram dan satu lagi 18 kilogram, jumlahnya tidak boleh melebihi 30 kilogram,” katanya.
Ridzuan turut mengingatkan jemaah agar tidak membawa barangan larangan, khususnya air zamzam di dalam bagasi.
“Cubaan menyembunyikan air zamzam dalam bagasi, walaupun dibalut rapi, tetap boleh dikesan melalui proses imbasan di lapangan terbang. Jika ini berlaku, bagasi akan dibuka dan barangan mungkin tidak dapat dikembalikan seperti asal,” katanya.
Katanya, perkara itu juga boleh menyebabkan kehilangan barang tanpa sebarang tuntutan ganti rugi.
Operasi CCI yang diperkenalkan sejak 2013 itu kini menjadi antara inisiatif utama Tabung Haji dalam meningkatkan keselesaan perjalanan jemaah haji Malaysia.
Bagi memastikan kelancaran operasi, CCI dikendalikan oleh beberapa kumpulan petugas membabitkan kakitangan Tabung Haji dan wakil syarikat penerbangan.
“Setiap kumpulan akan memantau kaunter mengikut penerbangan. Sebagai contoh, syarikat penerbangan Saudia membuka dua kaunter dengan empat petugas, manakala Malaysia Airlines melibatkan sehingga lapan petugas bagi empat kaunter,” katanya.
Menurut Ridzuan, pendekatan bersepadu itu bukan sahaja mempercepatkan proses pengendalian bagasi, malah memastikan jemaah haji dapat menumpukan sepenuhnya kepada perjalanan pulang dengan lebih tenang dan selesa.