PETALING JAYA: Pemangku Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amira Aisya Abd Aziz menyifatkan keadaan politik negara ketika ini sebagai ‘bernanah’ akibat kegagalan kerajaan menunaikan janji reformasi.
Tambah ADUN Puteri Wangsa itu, lambakan laungan reformasi yang tidak terlaksana menyebabkan rakyat semakin hilang kepercayaan terhadap institusi politik tanah air.
“Sehingga sekarang kita menanti janji Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), janji Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilantik dalam Parlimen.
“Janji pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya, janji jawatan Perdana Menteri tidak menjadi Menteri Kewangan, janji lantikan politik dihentikan.
“Sebab itu kita (MUDA) perlu memarhaenkan Malaysia, pulangkan negara kepada anak bangsa. Masa depan kita tidak wajar ditentukan oleh elit politik, ini masa untuk demokrasi yang lebih membumi,” ujar Amira Aisya menyampaikan mandat.
Beliau berkata demikian ketika ucapan dasar merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Parti MUDA 2025 dan Pemilihan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat bagi penggal 2026-2029, di sini, pada Sabtu.
Selain itu, Amira Aisya turut mendakwa rakyat Malaysia berdepan pelbagai bentuk penindasan dua darjat, antaranya kos sara hidup tinggi, peluang pendidikan yang tidak seimbang dan keruntuhan keluarga akibat kesempitan ekonomi.
“Dalam kita menderita ini, sesetengah ahli politik di atas terus-terus bergelumang dengan kuasa serta kemewahan,” kata Amira Aisya.
Jelasnya lagi, MUDA memegang ideologi demokrasi sosial dengan tiga prinsip utama iaitu kebebasan, solidariti dan keadilan sosial.
“Kita mahu pastikan tiada lagi anak tercicir pendidikan, belia perlu mendapat gaji bermaruah, rumah mampu milik diperbanyakkan serta nasib golongan M40 diperjuangkan dalam semua arena polisi.
“Paling penting, kita basmi salah guna kuasa dan rasuah yang semakin membarah, duit rakyat kembali kepada rakyat,” tegas Amira Aisya dalam satu sidang media.
Turut hadir sidang MUDA kali ini adalah Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Arutchelvan dan Bekas Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.