Skip to main content

Dunia

Pelajar Malaysia di Iran kongsi suasana Aidiladha pasca perang 40 hari

[TB]_EID ADHA IRAN,_Tasnim News
Sejak dari awal pagi orang ramai berkumpul untuk sembahyang solat sunat Aidiladha di masjid, ujar Hassan semasa wawancara bersama Astro AWANI.

KUALA LUMPUR: Kemeriahan sambutan Hari Raya Aidiladha di Iran berlangsung seperti biasa walaupun masyarakat berdepan serangan Amerika Syarikat dan Israel sejak 28 Februari lalu.

Menerusi pengamatan pelajar Malaysia di Qom, Iran, Syed Muhammad Hasan Syed Ahmad Firdaus Jamalullail, 23, beliau memberitahu, sejak dari awal konflik melanda, rakyat Iran tidak menunjukkan tanda-tanda gerun terhadap perang apatah lagi ketika merayakan sambutan perayaan bagi umat Islam.

“Sejak dari awal pagi orang ramai berkumpul untuk sembahyang solat sunat Aidiladha di masjid dan orang ramai memenuhi jalan raya,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Tambahnya, orang ramai turut terlibat dalam program ibadah korban yang akan diagihkan kepada penduduk setempat serta golongan yang layak menerima bantuan berkenaan.

Suasana ketika konflik

Hasan turut mengakui timbul perasaan gentar ketika awal konflik tercetus apabila serangan menyasarkan fasiliti, infrastruktur awam serta kawasan penempatan penduduk sepanjang 40 hari serangan antara kedua-dua pihak.

“Saya dan rakan-rakan memikirkan adakah giliran kita pula akan dibom, serangan berlaku secara rawak sahaja” katanya.

Pengarah Persatuan Bulan Sabit Merah Iran, Pirhossein Kolivand pada 10 April dilaporkan berkata sebanyak 125,630 fasiliti awam mengalami kerosakan akibat konflik perang, melibatkan kira-kira 100,000 unit kediaman, 23,500 premis komersial serta 339 fasiliti kesihatan.

Rundingan Islamabad 

Pada masa sama, Hasan turut berpandangan rakyat Iran menunjukkan sikap neutral terhadap rundingan yang sedang berlangsung di Islamabad, Pakistan sejak 11 April lalu.

Menurutnya, orang ramai setiap hari berkumpul di ruang awam untuk mengadakan aktiviti advokasi menyokong tindakan kerajaan dalam menghadapi situasi sama ada ketika aman atau konflik.

“Mereka (rakyat Iran) telah melalui perang sejak sekian lama, jadi setiap malam mereka berkumpul mengibarkan bendera negara dan muqawamah serta melaungkan slogan selepas waktu Isyak dari jam 9 malam sehingga ke tengah malam,” katanya.

Bagi Hasan, sikap rakyat Iran yang meneruskan kehidupan sedemikian menjadi beliau lebih kuat untuk meneruskan pengajian di negara Republik Islam itu.

“Saya dan rakan-rakan selaku rakyat Malaysia sebagai orang luar di sini tidak mengalami masalah mental atau fizikal kerana rakyat Iran sendiri menunjukkan sikap aman dan damai walaupun ketika konflik,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, rundingan damai yang diusahakan Pakistan serta Qatar kini tertumpu kepada isu pembukaan semula Selat Hormuz, pelepasan aset Iran yang dibekukan dan pengurangan sekatan ekonomi terhadap Tehran.

Bagaimanapun, usaha tersebut berdepan cabaran selepas Amerika Syarikat melancarkan beberapa serangan terhadap sasaran ketenteraan Iran minggu ini yang didakwa sebagai tindakan mempertahankan diri.

Iran menyifatkan serangan itu sebagai pelanggaran gencatan senjata namun setakat ini masih tidak menarik diri daripada rundingan.


 

Must Watch Video

Advertisement