AMPANG: Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan kesediaan untuk berdepan dengan Datuk Seri Rafizi Ramli yang disifatkan sebagai ‘gergasi politik’ jika diberi peluang bertanding di Parlimen Pandan dalam pilihan raya akan datang.
Tengku Zafrul yang juga penasihat Kanan Politik Perdana Menteri menegaskan bahawa cabaran berdepan dengan calon besar bukan halangan utama.
“Jika betul beliau (Rafizi) bertanding di sini, saya terpaksa berdepan dengan ‘gergasi politik’... kalau betul.
“Apa yang lebih penting ialah kita buat kerja, di mana-mana pun berkhidmat sama ada di Pandan, Ampang atau mana-mana yang kita ditugaskan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Korban Perdana Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pandan dengan kerjasama Dagang Avenue, Kompleks Muhibah dan Genk di sini, hari ini.
Turut hadir, EXCO Infrastruktur dan Pertanian Selangor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan Indah, Datuk Izham Hashim serta Ketua AMK Pandan, Mohd Ifwat Amir Hamirudin.
Beliau mengulas kemungkinan bakal bertanding di Parlimen Pandan selepas Rafizi melepaskan jawatannya sebagai Ahli Parlimen dan keluar daripada PKR pada 17 Mei lalu.
Menyentuh mengenai perancangan di Parlimen Pandan, beliau memaklumkan telah diberi mandat oleh Perdana Menteri untuk memantau dan menyelaras kawasan tersebut memandangkan kerusi itu kini tidak mempunyai wakil rakyat.
“Saya sebelum ini pun banyak bekerjasama dengan pejabat DUN Pandan Indah, pejabat DUN Pantai, banyak membantu di lapangan.
“Sekarang ini kita dalam proses untuk bersama juga bekerjasama dengan rakyat, pemuda, wanita Angkatan Muda Keadilan, badan bukan kerajaan (NGO) tempatan, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan semua agensi kerajaan.
“Pada masa yang sama, kerajaan persekutuan akan memastikan kerjasama dengan exco negeri termasuk ADUN di sini supaya semua khidmat dapat diteruskan demi rakyat,” katanya.
Beliau menekankan bahawa usaha yang dijalankan bukan sekadar persiapan menghadapi pilihan raya, tetapi lebih kepada memastikan kesinambungan khidmat kepada masyarakat.