ALOR GAJAH: Lebih 190 bekas ahli UMNO Bahagian Masjid Tanah kembali ke pangkuan parti itu menerusi inisiatif “Rumah Bangsa” di sini malam tadi.
Kesemua mereka menyerahkan borang keahlian kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Majlis Makan Malam “Sireh Pulang Ke Gagang” yang diadakan di kediaman beliau di Kampung Pulau, Masjid Tanah.
Ab Rauf yang juga Ketua Menteri Melaka berkata kesemua yang kembali itu terdiri daripada bekas ahli UMNO daripada pelbagai cawangan di bawah bahagian Masjid Tanah.
“Jadi saya mengalu-alukan penyertaan semula mereka ke dalam UMNO Bahagian Masjid Tanah ini dan mengucapkan terima kasih kepada usaha ini kerana mereka kembali semula ke landasan perjuangan yang sebenar untuk membina sebuah kekuatan bangsa.
“Saya tengok pada malam ini mereka begitu bersemangat untuk kembali bersama dalam perjuangan ini, sekali gus bersedia untuk menjadi jentera parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan diadakan tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita.
Rumah Bangsa ialah inisiatif penyatuan semula UMNO yang diperkenalkan oleh Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menyatukan orang Melayu dan menerima kembali bekas ahli menyertai parti itu
Pada PRN Melaka 2021, Barisan Nasional (BN) berjaya memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala penggal DUN bagi sesi ini dijangka berakhir pada Disember depan.
-- BERNAMA