Skip to main content

Politik

Kemelut DUN: Zahid akan jumpa ADUN BN Negeri Sembilan - Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA, 4 Mac -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil bercakap pada sidang media mingguan di Kementerian Komunikasi hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Datuk Fahmi Fadzil berkata, Ahmad Zahid akan mengadakan pertemuan dengan ADUN Barisan Nasional Negeri Sembilan dalam masa terdekat.

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan mengadakan pertemuan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN)-UMNO Negeri Sembilan dalam masa terdekat bagi meneliti perkembangan politik semasa di negeri itu.

Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimaklumkan Zahid kepada Jemaah Menteri susulan isu melibatkan kedudukan ADUN parti itu di Negeri Sembilan.

“Berhubung kedudukan ADUN Barisan (BN) di Negeri Sembilan, Timbalan Perdana Menteri telah memaklumkan kepada Kabinet bahawa beliau akan mengadakan pertemuan dengan mereka dalam masa terdekat,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam taklimat mingguan selepas mesyuarat Kabinet pada Rabu. 

Semalam, Fahmi memuat naik gambar Perdana Menteri Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu ketua parti dalam Kerajaan Perpaduan di media sosialnya.

Turut dilihat dalam pertemuan itu ialah Zahid; Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; dan Setiausaha DAP, Anthony Loke.

Fahmi memuat naik gambar tersebut dengan kapsyen ringkas "Pertemuan Berlangsung".

Tiada sebarang perincian dalam hantaran gambar di media sosial menteri komunikasi tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi dalam sidang media hari ini, berkata Kabinet turut dimaklumkan mengenai perkembangan politik dan pentadbiran Negeri Sembilan, dengan Anwar menegaskan kerajaan negeri kekal berfungsi seperti biasa.

Katanya, Kerajaan Persekutuan juga tidak akan campur tangan dalam urusan berkaitan adat, manakala Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dan negeri, termasuk di Negeri Sembilan, kekal stabil serta tidak terjejas.

Konflik politik di Negeri Sembilan tercetus apabila Pengerusi UMNO Negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias, yang juga ADUN Pertang, membuat pengumuman 14 ADUN BN-UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan negeri dan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, pada Ahad lalu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan lalu, BN menang di 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 17 kerusi yang ditandingi manakala Pakatan Harapan (PH) pula memenangi 17 kerusi, yang mana DAP (11), PKR (lima) dan Parti Amanah Negara (Amanah) (satu).

Perikatan Nasional (PN) pula menang di lima kerusi iaitu DUN Paroi, Serting, Gemas, Bagan Pinang dan Labu.

 

 

 

Must Watch Video