Skip to main content

Politik

Kemelut DUN: ‘Ganti Exco? Tiada ADUN berunding dengan saya’ - Aminuddin

SEREMBAN, 11 Mac -- Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun menjawab pertanyaan wartawan semasa sidang media khas berkenaan pelaburan Negeri Sembilan di Wisma Negeri, hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Aminuddin menegaskan, sebarang rundingan kerjasama dengan mana-mana pihak perlu mendapat persetujuan daripada pucuk pimpinan terlebih dahulu. - Gambar/ Beernama

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengesahkan tiada sebarang rundingan dengan mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) mahupun Perikatan Nasional (PN) negeri berhubung kemelut politik ketika ini.

Mengulas mengenai dakwaan kononnya empat ADUN UMNO bakal kembali mengisi kekosongan jawatan Exco ketika ini, beliau berkata tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung perkara itu.

Beliau menegaskan, sebarang rundingan kerjasama dengan mana-mana pihak perlu mendapat persetujuan daripada pucuk pimpinan terlebih dahulu.

“Tidak ada apa-apa perbincangan sebab ketika hari kejadian (tarik sokongan) itu pun saya ada cuba hubungi beberapa ADUN untuk mengesahkan, tetapi semua tutup telefon. Tetapi untuk terbaharu ini belum ada bincang sebab mereka sudah tarik sokongan.

“Saya nak cakap saya tak ada maklumat (jadi) tak sesuai untuk saya mengesahkan ada ke belum (rundingan), saya tidak tahu daripada mana  berita ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Wisma Negeri pada Rabu.

Terdahulu, timbul dakwaan kononnya terdapat empat ADUN UMNO lain yang akan mengisi kekosongan tersebut jawatan Exco negeri ketika ini.

Antara nama yang menjadi sebutan ialah ADUN Lenggeng, Datuk Mohd Asna Mohd Amin yang juga memegang jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.

Selain Mohd Asna, ADUN Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir dan ADUN Seri Menanti, Muhammad Sufian Maradzi turut disebut-disebut.

Namun, Asna ketika dihubungi Astro AWANI bagaimanapun berkata, beliau ketika ini hanya menunggu arahan selanjutnya daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Ura-ura itu akan kekal sebagai ura-ura sehingga Presiden Parti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan apa yang perlu dibuatlah,” katanya.

Sementara itu, Mohd Zaidy dalam kenyataannya turut menegaskan pendiriannya untuk terus setia bersama UMNO/BN serta menyokong kepimpinan Presiden parti, sekali gus menafikan segala spekulasi yang tular di media sosial kononnya wujud perpecahan dalam kalangan kepimpinan parti di Negeri Sembilan.

Empat ADUN yang sebelum ini memegang jawatan EXCO ialah Pengerusi UMNO Negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang merupakan EXCO Kanan Jawatankuasa Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi serta Jawatankuasa Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup.

Tiga lagi wakil UMNO dalam pentadbiran kerajaan negeri ialah ADUN Senaling, Datuk Ismail Lasim (EXCO Pendidikan dan Modal Insan); ADUN Palong, Datuk Mustapha Nagoor (EXCO Pembangunan Belia dan Sukan) dan ADUN Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli (EXCO Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital).

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan lalu, Barisan Nasional (BN) menang di 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 17 kerusi yang ditandingi manakala Pakatan Harapan (PH) pula memenangi 17 kerusi, yang mana DAP (11), PKR (lima) dan Parti Amanah Negara (Amanah) (satu).

Perikatan Nasional (PN) pula menang di lima kerusi iaitu DUN Paroi, Serting, Gemas, Bagan Pinang dan Labu.

 

 

Must Watch Video