Skip to main content

Malaysia

Log masuk tunggal MyJPJ guna MyDigital ID berkuat kuasa 1 Mei - KP JPJ

PUTRAJAYA, 30 Jan -- Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli ketika sidang media Nombor Pendaftaran Istimewa Siri FH Sempena Hari Wilayah Persekutuan di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Perbadanan Putrajaya hari ini.
Aedy Fadly Ramli (foto) berkata pelaksanaan itu merupakan sebahagian inisiatif pendigitalan perkhidmatan awam bertujuan memperkukuh tahap keselamatan siber dan meningkatkan kecekapan sistem penyampaian. -Gambar fail/Bernama

PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan sepenuhnya sistem log masuk tunggal (Single Sign-On) bagi Aplikasi Pintar MyJPJ menggunakan MyDigital ID berkuat kuasa mulai 1 Mei ini.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata pelaksanaan itu merupakan sebahagian inisiatif pendigitalan perkhidmatan awam bertujuan memperkukuh tahap keselamatan siber dan meningkatkan kecekapan sistem penyampaian.

Menerusi satu kenyataan hari ini, beliau berkata pelaksanaan itu juga akan memudahkan akses pengguna kepada pelbagai perkhidmatan JPJ melalui satu identiti digital yang sah dan diiktiraf.

“Pengguna hanya perlu menggunakan MyDigital ID sebagai kaedah pengesahan utama untuk mengakses Aplikasi MyJPJ, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pelbagai maklumat log masuk serta meminimumkan risiko keselamatan data,” katanya.

Aedy Fadly berkata aplikasi Pintar MyJPJ merupakan platform bersepadu yang menyediakan pelbagai kemudahan kepada orang awam termasuk semakan dan pembaharuan Lesen Memandu Malaysia (LMM), Lesen Kenderaan Motor (LKM), semakan saman serta akses kepada perkhidmatan berkaitan JPJ secara dalam talian.

Sehingga kini, aplikasi ini telah merekodkan melebihi 14 juta pengguna.

“Versi baharu aplikasi ini turut dipertingkat dengan pelbagai ciri tambahan seperti integrasi MyDigital ID, fungsi mod tetamu (guest mode) tanpa log masuk, chatbot pintar beroperasi 24 jam, serta integrasi JPJeBid dan JPJeQ dalam satu platform tunggal,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata semua pengguna MyJPJ yang berumur 12 tahun ke atas digalakkan untuk mendaftar dan mengaktifkan MyDigital ID selaras dengan pelaksanaan penuh sistem ini.

Bagi pengguna pemegang MyPR, kaedah log masuk sedia ada akan terus disediakan melalui saluran alternatif yang ditetapkan.

“Pelaksanaan log masuk tunggal ini mencerminkan komitmen berterusan JPJ dalam memperkasa transformasi digital jabatan serta memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih efisien, selamat dan mesra pengguna,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video