Skip to main content

Malaysia

Tiga lelaki tempatan ditahan menyamar polis, peras ugut warga asing

Person in handcuffs with blurred police lights in the background at night: FOTO: ADOBE STOCK
Sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor berjaya menahan semua suspek berusia 42 hingga 59 tahun di tempat kejadian. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga lelaki tempatan kerana disyaki menyamar sebagai anggota polis dan melakukan pemerasan terhadap seorang pembantu kedai warga asing di Bukit Beruntung, Selangor semalam.  

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintenden Ibrahim Husin berkata pihaknya menerima laporan kejadian daripada mangsa pada 3.30 petang, mendakwa tiga lelaki itu meminta wang tunai RM3,000 bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang dikenakan terhadapnya. 

“Hasil maklumat awam, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor berjaya menahan semua suspek berusia 42 hingga 59 tahun di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata seorang daripada suspek mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah manakala ujian saringan air kencing tiga lelaki itu negatif. 

“Mereka ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan,” katanya.  

Kes disiasat mengikut Seksyen 385 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.  

-- BERNAMA

Must Watch Video