Skip to main content

Dunia

Sekatan dan keganasan tanpa henti, Gaza dan Tebing Barat terus menderita

U.N. vehicles escort ambulances and a bus carrying Palestinian patients in Khan Younis as they travel to the Rafah crossing to leave the Gaza Strip for medical treatment abroad, Thursday, Mar, 19, 2026. (AP Photo/Abdel Kareem Hana)
Serangan udara, bedilan dan tembakan terus berlaku di kawasan kediaman, terutamanya di utara dan tengah Gaza. - Gambar fail/AP

KUALA LUMPUR: Rakyat Palestin di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat yang diduduki terus terseksa akibat sekatan Israel terhadap bantuan kemanusiaan selain penularan penyakit, kekurangan bekalan asas yang serius dan serangan berterusan.

Dalam laporan situasi mingguan, Pusat Komunikasi Kerajaan di Pejabat Perdana Menteri Palestin memaklumkan serangan udara, bedilan dan tembakan terus berlaku di kawasan kediaman, terutamanya di utara dan tengah Gaza, sekali gus menyukarkan proses pembersihan bahan letupan yang belum meletup.

 “Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan bahawa serangan di Gaza meningkat sebanyak 46 peratus dalam tempoh seminggu, sekali gus mencatatkan tahap keganasan tertinggi sejak perjanjian gencatan senjata dimeterai,” menurut laporan itu.

Laporan berkenaan turut mendedahkan bahawa konflik berpanjangan telah menyebabkan pembangunan manusia di Gaza merosot sehingga 77 tahun, dengan lebih 1.9 juta penduduk kehilangan tempat tinggal dan lebih 60 peratus daripadanya kehilangan kediaman sepenuhnya.

Sektor perumahan, kesihatan, pendidikan dan pertanian dilaporkan terjejas teruk, dengan lebih 371,000 unit kediaman rosak atau musnah, manakala lebih separuh hospital tidak lagi berfungsi.

Selain itu, jumlah tahanan wanita Palestin di penjara dan kem tentera Israel terus meningkat kepada 90 orang dengan jumlah keseluruhan seramai 700 orang dan kebanyakan mereka ditempatkan di “Penjara Damon”.

Tahanan di penjara itu turut melibatkan kanak-kanak bawah umur, seorang wanita hamil, tahanan pentadbiran yang ditahan tanpa pertuduhan atau perbicaraan, wartawan, serta tahanan yang menghidap penyakit serius seperti kanser selain diabaikan perubatan, mengalami kebuluran, penderaan dan pengasingan bersendirian.

Sementara itu, keadaan di Tebing Barat yang diduduki juga terus tegang dengan peningkatan keganasan oleh peneroka Israel, menurut laporan itu. Malah, pasukan pendudukan Israel dan peneroka telah menggunakan keganasan berasaskan jantina, termasuk serangan dan gangguan seksual, sebagai taktik untuk memaksa rakyat Palestin keluar dari kediaman mereka.

Laporan tersebut menyimpulkan pelanggaran berkenaan menyumbang kepada pemindahan paksa, dengan lebih dua pertiga keluarga yang ditinjau melaporkan peningkatan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak, termasuk gangguan seksual yang menyasarkan kanak-kanak perempuan.

Banyak keluarga menyifatkan gangguan seksual sebagai titik peralihan yang menjadikan ketakutan berterusan mereka tidak tertanggung; sebahagian mereka menikahkan anak perempuan mereka seawal usia 15 hingga 17 tahun sebagai tindak balas terhadap ancaman tersebut.

Setakat 27 April, sebanyak 811 rakyat Palestin telah terkorban sejak perjanjian gencatan senjata, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan angka korban kepada 72,587 orang termasuk sekurang-kurangnya 21,283 kanak-kanak dengan 172,381 cedera sejak 7 Okt, 2023 di Semenanjung Gaza.

Selain itu, 832,865 kehilangan tempat tinggal sejak permulaan gencatan senjata sehingga 14 Feb, 11,200 rakyat masih hilang, lebih 1,700 pekerja kesihatan syahid, 262 wartawan dan petugas media terkorban dan 19 daripada 37 hospital di Semenanjung Gaza masih beroperasi.

Di Tebing Barat pula seramai 1,149 orang terkorban termasuk 237 kanak-kanak (sehingga 12 April), 12,245 cedera (setakat 28 Mac) dan lebih 9,600 ditahan manakala kira-kira 33,000 rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal di Jenin dan Tulkarem.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video