SEREMBAN: Kemelut politik Negeri Sembilan semakin memuncak apabila timbul dakwaan bahawa ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO lain yang akan mengisi kekosongan empat jawatan Exco kerajaan negeri, yang dikosongkan sebelum ini.
Antara nama yang menjadi sebutan ialah ADUN Lenggeng, Datuk Mohd Asna Mohd Amin yang turut memegang jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.
Asna ketika dihubungi Astro AWANI bagaimanapun hanya berkata, beliau ketika ini menunggu arahan selanjutnya daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Ura-ura itu akan kekal sebagai ura-ura sehingga Presiden Parti mengarahkan apa yang perlu dibuat,” katanya.
Konflik politik di Negeri Sembilan tercetus apabila Pengerusi UMNO Negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias, yang juga ADUN Pertang, membuat pengumuman 14 ADUN Barisan Nasional (BN)-UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan negeri dan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, pada Ahad lalu.
Pada Selasa, Jalaluddin berkata, UMNO Negeri Sembilan mengarahkan kesemua Exconya mengemas pejabat di Wisma Negeri serta memulangkan kenderaan rasmi termasuk aset kerajaan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri pada Selasa.
Empat ADUN UMNO yang memegang jawatan Exco sebelum ini ialah Jalaluddin (Exco Kanan Jawatankuasa Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi serta Jawatankuasa Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup.
Tiga lagi wakil UMNO dalam pentadbiran kerajaan negeri ialah ADUN Senaling, Datuk Ismail Lasim (Exco Pendidikan dan Modal Insan); ADUN Palong, Datuk Mustapha Nagoor (Exco Pembangunan Belia dan Sukan) dan ADUN Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli (Exco Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital).
Pada Pilihan Raya Negeri(PRN) Negeri Sembilan lalu, BN menang di 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 17 kerusi yang ditandingi manakala Pakatan Harapan (PH) pula memenangi 17 kerusi, yang mana DAP (11), PKR (lima) dan Parti Amanah Negara (Amanah) (satu).
Perikatan Nasional (PN) pula menang di lima kerusi iaitu DUN Paroi, Serting, Gemas, Bagan Pinang dan Labu.