Skip to main content

Teknologi

Meta uji sandaran awan WhatsApp, storan sendiri dengan ciri langganan

Sumber: AMANZ
Langkah ini dilihat sebagai sebahagian usaha meneroka penawaran pelan storan awan tersendiri, sama ada sebagai pengganti atau alternatif kepada perkhidmatan pihak ketiga seperti Google Drive. -Foto Amanz

META dilapor sedang menguji perkhidmatan sandaran awan baharu yang membolehkan pengguna WhatsApp menyimpan sejarah perbualan secara terus di pelayan syarikat itu sendiri.

Langkah ini dilihat sebagai sebahagian usaha meneroka penawaran pelan storan awan tersendiri, sama ada sebagai pengganti atau alternatif kepada perkhidmatan pihak ketiga seperti Google Drive, lapor Amanz.

Menerusi ciri yang masih dalam pembangunan itu, pengguna Android akan diberi pilihan untuk membuat sandaran menggunakan storan awan Meta yang dilengkapi enkripsi hujung ke hujung secara mandatori.

Laporan awal menyebut Meta berkemungkinan menawarkan storan percuma sehingga 2GB, manakala pengguna yang memerlukan kapasiti tambahan boleh melanggan pelan 50GB pada harga AS$0.99 (kira-kira RM3.90).

Kemudahan storan tambahan ini berpotensi disepadukan dalam pakej langganan WhatsApp Plus yang kini sedang diuji di beberapa pasaran terpilih termasuk Eropah dan Pakistan.

Selain storan, langganan yang dianggarkan berharga sekitar €2.49 (kira-kira RM11.50) sebulan di Eropah itu turut menawarkan ciri tambahan seperti akses kepada pelekat premium, tetapan tema aplikasi, serta keupayaan menyemat sehingga 20 perbualan penting.

Bagaimanapun, Meta menegaskan fungsi asas perkhidmatan permesejan itu akan kekal percuma kepada semua pengguna.

Setakat ini, ciri langganan berkenaan masih berada dalam fasa pembangunan dan belum mempunyai tarikh pelancaran rasmi.

Langkah tersebut menyusul selepas Google menamatkan tawaran sandaran WhatsApp tanpa had di platform Android, sekali gus menyebabkan sandaran perbualan kini dikira sebagai sebahagian daripada kuota storan Google Drive pengguna.

Must Watch Video