BALING: Polis sedang mengesan seorang lelaki disyaki terlibat dalam kejadian ragut di hadapan sebuah institusi perbankan di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Baling Supt Brandon Anak Richard Joe berkata dalam kejadian pada 2.55 petang semalam, mangsa seorang wanita berusia 32 tahun dikatakan baru selesai berurusan di sebuah bank sebelum didatangi suspek yang menunggang sebuah motosikal.
"Lelaki tersebut bertindak meragut beg tangan milik mangsa dan kemudiannya melarikan diri. Mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan kita buka siasatan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan," katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Beliau berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian tersebut diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Baling atau mana-mana balai polis berhampiran.
-- BERNAMA