Skip to main content

Politik

ADUN Skudai, Marina Ibrahim umum tidak bertanding, undur diri daripada politik

Sumber: FACEBOOK Marina.Ibrahim
Menurut Marina, keputusannya untuk tidak bertanding dalam mana-mana pilihan raya serta berundur daripada arena politik dibuat selepas melalui perbincangan bersama individu terdekat yang sentiasa berada di sisi sepanjang perjalanan politiknya.

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim mengumumkan keputusan untuk tidak bertanding dalam mana-mana pilihan raya serta berundur daripada arena politik.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad, beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas melalui perbincangan bersama individu terdekat yang sentiasa berada di sisi sepanjang perjalanan politiknya.

Menurut Marina, beliau kini memilih untuk kembali ke lapangan masyarakat dan meneruskan kerja-kerja kemasyarakatan yang dekat di hatinya sejak sebelum menceburi dunia politik.

“Empat tahun yang lalu, saya datang ke Skudai dengan satu harapan yang sederhana tetapi besar maknanya, iaitu untuk berkhidmat.

“Saya hadir bukan dengan kekuatan besar atau pasukan yang lengkap, namun dengan niat ikhlas dan keyakinan bahawa setiap amanah perlu dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya.

Sepanjang tempoh berkhidmat sebagai wakil rakyat, Marina berkata, beliau telah berusaha memberikan yang terbaik kepada masyarakat setempat.

Dalam masa sama, beliau turut memohon maaf atas sebarang kekurangan dan kelemahan sepanjang memikul amanah tersebut.

“Saya hanyalah seorang manusia yang tidak pernah terlepas daripada kekhilafan dan keterbatasan,” ujarnya.

Marina turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan dan kepercayaan kepadanya, termasuk para pengundi yang menyokong beliau pada 22 Mac 2022 serta pasukan yang sentiasa bersama dalam setiap keadaan.

Beliau juga menegaskan bahawa pengunduran daripada politik tidak bermakna khidmatnya kepada masyarakat akan terhenti.

“Berakhirnya satu babak bukan bermakna berakhirnya khidmat. Selagi diberikan kesempatan, saya akan terus menyumbang kepada masyarakat dalam apa jua kapasiti yang mampu,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Marina memaklumkan, akan terus melaksanakan tugasan di kawasan sehingga ADUN baharu dilantik.

Beliau turut mendoakan agar Skudai terus membangun dan masyarakatnya kekal sejahtera.

Must Watch Video

Advertisement