PENYANYI Dua Lipa dilaporkan akan berkahwin dengan aktor Callum Turner pada hujung minggu depan atau awal Jun selepas bertunang pada tahun 2024.
Pasangan selebriti tersebut didakwa akan melangsungkan perkahwinan di Itali dengan majlis mewah di sebuah hotel selama tiga hari. Keputusan tersebut diambil selepas penyanyi dan aktor itu bercuti di Itali, akhir tahun lalu, lapor DailyMail.
Dua Lipa, 30, dan Callum, 36, juga dikatakan telah melayangkan jemputan kepada tetamu dan mengatur perjalanan mereka pada majlis bersejarah yang didakwa akan berlaku di Palermo, Sicily.
Antara tetamu yang dipercayai telah menerima jemputan termasuklah Elton John, Mark Ronson, Charli xcx, Rosé dan Jennie BLACKPINK, Donatella Versace serta Simon Porte Jacquemus.
Pelantun Levatating dan One Kiss itu sebelum ini mendedahkan dilamar Turner dalam suasana romantik sewaktu sambutan Krismas. Namun mereka memilih untuk menjalani percintaan dengan sederhana.
“Saya sangat gembira dan selesa untuk tidak bercakap tentangnya (hubungan cinta). Sebagai seorang yang terkenal, semua hal yang bersifat peribadi akan menjadi ‘huru hara’ jika dikongsi berlebihan jadi saya memilih untuk tidak berkongsi,” katanya tidak lama dulu.
Sebelum ini, pasangan itu didakwa akan berkahwin pada sekitar bulan September namun laporan terkini melaporkan Dua Lipa dan Turner bakal menjadi suami isteri pada awal Jun ini. -- Gempak