PENAMPANG: Kerajaan Negeri Sabah menggerakkan inisiatif lima tahun sehingga 2030 untuk mendokumentasikan kebudayaan pelbagai etnik di negeri ini sebagai rujukan generasi akan datang dan aset pelancongan.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata usaha pendokumentasian itu penting bagi memastikan warisan dan tradisi etnik tidak pupus, di samping memperkukuh Pesta Kaamatan sebagai antara produk pelancongan utama yang berupaya mengangkat nama Sabah ke persada dunia.
"Pesta Kaamatan bukan sekadar perayaan kebudayaan, tetapi landasan penting untuk mengekalkan tradisi etnik, memupuk toleransi serta mengukuhkan kestabilan politik dan pembangunan negeri.
"Kehadiran pelawat dari dekat dan jauh menjadikan perayaan ini istimewa dengan kepelbagaian visual, bunyi, cita rasa dan layanan mesra yang menjadi kebanggaan kita semua," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 yang dirasmikan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di sini hari ini.
Turut hadir isteri Yang Dipertua Negeri Sabah Toh Puan Faridah Tussin, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 serta Presiden KDCA Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
Masyarakat Sabah terdiri daripada lebih 30 kumpulan etnik serta pelbagai subetnik.
Menyentuh mengenai agenda pembangunan negeri, Hajiji berkata kerajaan terus komited memastikan kelestarian pembangunan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terbela menerusi hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Katanya antara fokus utama kerajaan menerusi inisiatif berkenaan termasuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, meningkatkan produktiviti sektor pertanian, memperkasakan modal insan, serta memelihara kebajikan masyarakat bandar mahupun luar bandar.
Beliau berkata selaras dengan tema sambutan tahun ini, rakyat dituntut untuk terus kekal bersatu padu dalam mendepani pelbagai cabaran semasa seperti ketidaktentuan ekonomi dan kos sara hidup.
"Perbezaan dan kepelbagaian etnik serta budaya di Sabah tidak seharusnya menjadi halangan, sebaliknya ia harus menjadi asas kepada perpaduan rakyat dan pembangunan negeri ini.
“Masa depan Sabah yang cerah tidak akan ditentukan oleh retorik politik, tetapi melalui kerja keras, dedikasi bekerja, keharmonian dan keikhlasan kerjasama daripada seluruh lapisan masyarakat," katanya.
-- BERNAMA