KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri dan anggota Jemaah Menteri hari ini menzahirkan ucapan Selamat Hari Wesak kepada penganut agama Buddha, sambil menekankan perpaduan, toleransi serta saling menghormati dalam masyarakat majmuk Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kepelbagaian agama, budaya dan tradisi, yang menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat Malaysia, terus mencerminkan semangat keharmonian dan saling menghormati, yang diamalkan selama ini.
“Keunikan inilah yang membentuk identiti negara kita serta menjadi antara kekuatan dan tarikan Malaysia di mata dunia. Semoga sambutan Hari Wesak tahun ini, membawa kebahagiaan dan kegembiraan kepada semua yang meraikannya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pula menyeru rakyat agar terus memperkukuh perpaduan dalam kepelbagaian, yang menjadi identiti Malaysia serta sumber kekuatan utama dalam memacu kemajuan negara.
“Dengan adanya keutuhan perpaduan, kita mampu mendepani apa jua cabaran termasuk krisis tenaga dan gangguan bekalan global yang sedang memberi kesan kepada seluruh dunia ketika ini. Semangat kebersamaan dan toleransi akan menjadi asas penting untuk negara terus kekal kukuh, berdaya tahan dan makmur,” katanya.
Sementara itu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata nilai kasih sayang, kebijaksanaan dan ihsan perlu terus disemai agar keharmonian yang telah kita bina sekian lama sentiasa terpelihara.
“Kita wajar saling mengingatkan sesama kita tentang peri pentingnya hidup dengan rasa hormat, berbuat baik sesama manusia dan memperkukuh semangat kebersamaan serta perpaduan dalam masyarakat,” katanya.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pula berharap sambutan Hari Wesak tahun ini, membawa kesejahteraan dan kebahagiaan kepada semua yang menyambutnya.
“Kita perkukuh semangat perpaduan, keharmonian, toleransi dan saling hormat-menghormati dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum dan kepercayaan di negara ini,” katanya.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Joseph Arthur Kurup pula berkata nilai kesederhanaan yang sering dikaitkan dengan sambutan Hari Wesak, selari dengan usaha memelihara kelestarian alam sekitar.
“Sebagaimana ajaran Buddha yang menekankan rasa hormat kepada semua hidupan, marilah kita memperbaharui tekad untuk menjaga bumi ini demi kesejahteraan generasi masa hadapan. Semoga cahaya Wesak membawa keamanan, kebahagiaan dan inspirasi untuk kita terus memelihara khazanah alam kita yang tidak ternilai,” katanya.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Hari Wesak bukan sahaja mencerminkan kekayaan warisan masyarakat Malaysia, malah menjadi jambatan yang mengukuhkan persefahaman, rasa hormat dan perpaduan antara rakyat.
“Semoga sambutan Hari Wesak tahun ini membawa ketenangan, kebahagiaan dan kesejahteraan kepada semua yang meraikannya, serta terus memperkukuh perpaduan dan keharmonian yang menjadi kekuatan negara kita,” katanya.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dzulkefly Ahmad pula berkata nilai ihsan, kasih sayang dan toleransi yang dibawa oleh sambutan Hari Wesak, amat bertepatan dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam membina masyarakat majmuk yang harmoni.
“Dalam kita mensyukuri keamanan negara, saya ingin menitipkan pesan agar kita sentiasa memelihara kesejahteraan rohani dan ketenangan minda, kerana kelestarian emosi merupakan teras utama kepada pembentukan kesihatan diri yang holistik,” katanya.
Turut menyampaikan ucapan menerusi media sosial ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh, Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
-- BERNAMA