Skip to main content

Malaysia

[KOLUMNIS] Malaysia perlu reformasi pengurusan ternakan korban Aidiladha

51748592278_lembu.jpg
Aidiladha mengajar umat Islam tentang pengorbanan, amanah dan tanggungjawab. Nilai-nilai tersebut seharusnya diterjemahkan bukan sahaja dalam niat beribadah, tetapi juga dalam cara kita menguruskan haiwan yang diamanahkan untuk tujuan korban. -Gambar fail

SETIAP kali tibanya Hari Raya Aidil Adha, umat Islam di seluruh dunia menghayati kembali sejarah agung pengorbanan Nabi Ibrahim A.S. dan Nabi Ismail A.S. yang menjadi simbol ketaatan mutlak kepada Allah SWT.

Ibadah korban yang dilaksanakan sepanjang Aidiladha dan hari Tasyrik bukan sahaja menggambarkan ketakwaan, malah mengukuhkan hubungan sosial, memupuk semangat kebersamaan serta membantu golongan memerlukan melalui agihan daging.

Dianggarkan berjuta-juta ekor haiwan ternakan disembelih setiap tahun di seluruh dunia sempena Aidiladha. Di Malaysia pula, ribuan lembu, kerbau dan kambing disembelih di masjid, surau, sekolah agama dan kawasan komuniti. Tradisi ini menghidupkan budaya gotong-royong dan kesukarelawanan yang menjadi teras masyarakat sejak sekian lama.

Image
41737823078_Lembu.jpg

Namun, di sebalik kemeriahan itu, timbul persoalan penting: sejauh mana sistem pengurusan ternakan korban di Malaysia memenuhi piawaian keselamatan, kebajikan haiwan, dan pematuhan undang-undang?

Persoalan ini wajar diberi perhatian kerana hampir setiap tahun kita masih melihat laporan kemalangan melibatkan haiwan korban — lembu terlepas, pengendali ditanduk, kecederaan serius, malah kematian.

Lebih membimbangkan, sebahagian besar insiden tersebut sebenarnya boleh dielakkan sekiranya pengurusan korban dilaksanakan secara lebih profesional dan sistematik.

Setiap kali musim Aidil Adha tiba, masyarakat sering disajikan dengan laporan mengenai lembu yang terlepas dari kawalan, pengendali yang ditanduk haiwan, individu yang mengalami kecederaan serius akibat diseret oleh haiwan ternakan, serta pelbagai insiden tidak diingini yang berlaku semasa proses penyembelihan.

Ada pengendali yang mengalami patah tulang akibat dirempuh lembu yang panik, ada yang mengalami kecederaan dalaman akibat ditanduk kerbau, malah terdapat kes kematian yang direkodkan akibat kecederaan serius semasa mengendalikan haiwan korban.

Selain melibatkan manusia, haiwan juga sering menjadi mangsa kelemahan pengendalian.

Terdapat kes haiwan yang mati akibat tercekik oleh tali, mengalami kecederaan tulang belakang semasa dijatuhkan atau mengalami tekanan melampau akibat dikendalikan secara kasar.

Ironinya, insiden seperti ini sering dianggap sebagai perkara biasa yang berlaku setiap kali Aidiladha.

Sedangkan dalam mana-mana industri lain, kemalangan yang berulang setiap tahun akan dianggap sebagai petunjuk kegagalan sistem yang memerlukan tindakan pembetulan segera.

Image
KOTA BHARU, 7 Jun -- Para petugas bergotong royong melaksanakan ibadah korban sempena Program Korban Bank Rakyat di ruang parkir Masjid Muhammadi hari ini.  Sebanyak 27 ekor lembu akan disembelih melibatkan seramai 100 orang petugas dan daging-daging korban itu akan diagih kepada 2,000 ketua isi rumah (KIR) yang terdiri daripada golongan asnaf dan fakir miskin di sekitar Kota Bharu.  --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA

Persoalannya, mengapa kita masih menerima tragedi sebegini sebagai sesuatu yang dianggap lazim?

Antara kelemahan utama ialah penglibatan individu tanpa latihan formal. Ramai pengendali terdiri daripada sukarelawan yang hanya mengurus haiwan besar sekali setahun.

Walaupun mahir dari sudut penyembelihan, mereka tidak semestinya memahami tingkah laku haiwan, teknik kawalan (restraint) yang selamat atau pengurusan risiko.

Mengendalikan haiwan seberat ratusan kilogram bukan tugas mudah. Ia memerlukan pengetahuan tentang psikologi haiwan, zon penglihatan, tindak balas terhadap tekanan serta teknik kawalan yang betul.

Malangnya, aspek ini masih kurang diberikan perhatian dalam kebanyakan program korban di negara ini.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa sebahagian besar pengendali korban sebenarnya belajar melalui kaedah ‘lihat dan buat’ tanpa latihan rasmi atau pensijilan kompetensi.

Dalam konteks keselamatan pekerjaan moden, keadaan ini sudah tentu tidak boleh diterima sama sekali.

Image
51626079985_LembuKorban.jpg

Satu lagi kesilapan yang sering berlaku ialah kegagalan memahami bahawa haiwan ternakan mempunyai emosi, naluri dan tindak balas fisiologi yang kompleks.

Haiwan ternakan seperti lembu dan kerbau adalah haiwan mangsa (prey animals). Secara semula jadi, haiwan ini akan cuba melarikan diri apabila berasa diancam.

Bunyi bising, jeritan, kehadiran orang ramai, cuaca panas dan persekitaran yang asing boleh menyebabkan haiwan mengalami tekanan (stres) yang tinggi.

Apabila tahap stres meningkat, haiwan akan menghasilkan hormon seperti adrenalin dan kortisol yang meningkatkan kadar denyutan jantung serta menjadikan haiwan lebih sukar dikawal.

Keadaan ini menjelaskan mengapa seekor lembu yang kelihatan tenang boleh tiba-tiba merempuh orang ramai atau melompat keluar daripada kawasan kawalan.

Masalahnya, ramai pengendali masih menggunakan pendekatan tradisional seperti menarik tali secara paksa, menjerit atau mengelilingi haiwan dengan ramai individu.

Tindakan sebegini sebenarnya meningkatkan tahap tekanan haiwan dan menjadikan keadaan lebih berbahaya. Amalan ini bukan sahaja tidak selamat, malah bertentangan dengan prinsip ihsan terhadap haiwan dalam Islam.

Image
51745821171_lembu.jpg

Perbincangan mengenai kebajikan haiwan sering disalah tafsir sebagai agenda Barat atau konsep moden yang tidak berkaitan dengan ibadah korban.

Hakikatnya, Islam telah lama mengajar konsep kebajikan haiwan sebelum ia menjadi perbahasan global. Rasulullah SAW menegaskan bahawa setiap urusan berkaitan haiwan hendaklah dilakukan dengan penuh belas ihsan.

Haiwan tidak boleh dipukul, diseksa atau dibiarkan menderita tanpa sebab yang dibenarkan syarak. Dalam konteks korban, haiwan perlu diuruskan dengan baik sebelum penyembelihan.

Haiwan yang mengalami tekanan melampau bukan sahaja terdedah kepada penderitaan yang tidak perlu, malah boleh menjejaskan kualiti daging yang dihasilkan.

Kajian veterinar menunjukkan bahawa stres sebelum penyembelihan boleh menyebabkan perubahan biokimia dalam otot yang menghasilkan daging berkualiti rendah. Oleh itu, kebajikan haiwan bukan sahaja berkaitan etika tetapi juga melibatkan keselamatan makanan dan kesihatan pengguna.

Di kebanyakan negara-negara maju, penyembelihan haiwan untuk tujuan komersial atau keagamaan dilaksanakan di rumah sembelihan (abattoir) yang dilengkapi kemudahan moden.

Kemudahan tersebut mempunyai fasiliti lengkap dan canggih seperti sistem  pengendalian haiwan yang selamat, kandang khas ternakan, laluan pergerakan terkawal, peralatan penambatan professional, pemeriksaan oleh ahli veterinar dan sistem pelupusan sisa sembelihan yang sistematik dan terkawal.

Image
81678191974_lembudiracun.jpg

Sebaliknya di Malaysia, banyak program korban masih dijalankan di kawasan terbuka seperti padang, kawasan perumahan, dan halaman masjid.

Walaupun pendekatan ini mempunyai nilai tradisi dan semangat gotong-royong yang tinggi, ia juga mewujudkan pelbagai cabaran dari sudut keselamatan, kebersihan, kebajikan haiwan dan kesihatan awam.

Persoalannya bukan sama ada tradisi perlu dihapuskan, tetapi bagaimana tradisi boleh disesuaikan dengan keperluan semasa tanpa menjejaskan nilai ibadah.

Malaysia sebenarnya mempunyai pelbagai peruntukan undang-undang yang berkaitan dengan penyembelihan dan pengurusan haiwan ternakan.

Antaranya ialah Akta Rumah Penyembelihan (Penswastaan) 1993 (Akta 507), Akta Binatang 1953 (Semakan 2006) atau Akta 647 serta Kaedah-Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009.

Namun persoalan yang sering timbul ialah sejauh mana penguatkuasaan undang-undang tersebut benar-benar dilaksanakan dalam program korban berskala komuniti.

Masih terdapat lokasi yang tidak mempunyai dokumentasi lengkap, permit yang sewajarnya atau pengawasan ahli veterinar yang mencukupi.

Dalam sesetengah keadaan, pengendalian haiwan dilakukan tanpa mengambil kira aspek kebajikan dan keselamatan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Jika sektor penternakan komersial diwajibkan mematuhi pelbagai peraturan, mengapa standard yang sama tidak ditekankan dalam aktiviti korban yang turut melibatkan haiwan, manusia dan makanan?

Image
81745821094_LEMBU.jpg

Justeru, Malaysia memerlukan satu transformasi besar dalam pengurusan korban.

Pertama, setiap lokasi korban perlu didaftarkan dan memperoleh permit yang sah daripada pihak berkuasa berkaitan.

Kedua, latihan dan pensijilan pengendali ternakan korban perlu diwajibkan. Individu yang mengendalikan haiwan besar seharusnya mempunyai kompetensi minimum dalam bidang pengendalian haiwan dan keselamatan pekerjaan.

Ketiga, satu Prosedur Operasi Standard (SOP) kebangsaan perlu diwujudkan dan dilaksanakan secara seragam di seluruh negara.

Keempat, penggunaan rumah sembelihan bagi penyembelihan korban perlu diperluas secara berperingkat.

Langkah ini telah berjaya dilaksanakan di banyak negara dan terbukti mampu mengurangkan risiko kemalangan serta meningkatkan kebajikan haiwan.

Kelima, penglibatan pegawai veterinar dan pakar tingkah laku haiwan perlu diperkasakan dalam setiap program korban berskala besar.

Reformasi pengurusan korban bukan bertujuan menyusahkan masyarakat atau menghilangkan semangat gotong-royong yang telah diamalkan sejak turun-temurun.

Sebaliknya, reformasi ini bertujuan memastikan ibadah korban dilaksanakan dengan lebih berkualiti, selamat dan berintegriti.

Image
81655284636_Aidiladha.jpg

Ibadah yang dilaksanakan secara profesional akan memberi manfaat kepada semua pihak. Pengendali lebih selamat, haiwan lebih terpelihara kebajikannya, kualiti daging lebih baik, dan Risiko pencemaran berkurangan.

Masyarakat pula memperoleh keyakinan bahawa ibadah yang dilaksanakan benar-benar memenuhi tuntutan syariah dan piawaian moden.

Aidiladha mengajar umat Islam tentang pengorbanan, amanah dan tanggungjawab. Nilai-nilai tersebut seharusnya diterjemahkan bukan sahaja dalam niat beribadah, tetapi juga dalam cara kita menguruskan haiwan yang diamanahkan untuk tujuan korban.

Sudah tiba masanya Malaysia bergerak ke arah sistem pengurusan korban yang lebih profesional, saintifik dan berteraskan prinsip ihsan.

Kemalangan, kecederaan dan kematian yang berulang setiap tahun tidak sepatutnya dianggap sebagai lumrah sambutan Aidiladha. Sebaliknya, ia perlu menjadi pemangkin kepada perubahan kerana ibadah korban yang terbaik bukan sekadar memenuhi syarat sah penyembelihan, tetapi juga menjamin keselamatan manusia dan masyarakat, memelihara kebajikan haiwan dan mencerminkan keindahan Islam sebagai agama yang menuntut ihsan dalam setiap perkara.


Nor Afandy Hamid & Akbar Ali Abd. Kadir merupakan pensyarah di Jabatan Ilmu Dasar dan Keusahawanan, Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan (PPAL), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Terengganu.

Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Sidang Pengarang Astro AWANI.

 

Must Watch Video

Advertisement