KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini menafikan pihaknya terlibat dalam penganjuran persidangan yang menggunakan nama universiti itu tanpa kebenaran.
Menurut Pusat Komunikasi Korporat UMS, terdapat beberapa laman sesawang mempromosikan program seperti International Global Multidisciplinary Engineering Conference (IGMEC) dan International Conference on Biomedical Engineering & Instrumentation (ICBEI), dengan mendakwa ia dianjurkan UMS, sedangkan perkara itu tidak benar.
Menurut UMS, laman sesawang itu turut menggunakan nama pensyarahnya termasuk Prof Rodeano Roslee sebagai pengucaptama tanpa pengetahuan atau kebenaran pihak universiti mahupun individu terbabit.
Sehubungan itu, UMS menegaskan tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana pihak untuk menggunakan nama universiti, fakulti atau kakitangan akademik bagi tujuan mempromosikan program berkenaan.
“UMS memandang serius perkara ini kerana ia berpotensi mengelirukan orang awam serta mencemarkan reputasi universiti. Justeru, laporan polis dan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia akan dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” menurut kenyataan itu hari ini.
UMS turut menasihati orang ramai khususnya warga akademik supaya sentiasa membuat semakan sewajarnya bagi memastikan kesahihan mana-mana program, seminar atau persidangan yang mendakwa mempunyai kaitan dengan universiti terbabit.
“Pihak universiti juga menggesa orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti seumpamanya atau penggunaan nama UMS yang mencurigakan kepada pihak universiti bagi tujuan pengesahan dan tindakan segera.
“Segala maklumat rasmi berkaitan program universiti hanya akan disalurkan melalui saluran komunikasi rasmi UMS,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA