WASHINGTON: Kumpulan Bank Dunia, dengan kerjasama bank pembangunan pelbagai hala, institusi pembiayaan pembangunan dan rakan strategik utama, melancarkan Water Forward, sebuah platform global yang bertujuan meningkatkan keselamatan air bagi satu bilion penduduk menjelang 2030, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).
Platform itu akan menyelaraskan pembaharuan dasar, pembiayaan dan kerjasama bagi memperluas perkhidmatan air yang boleh dipercayai serta memperkukuh sistem menghadapi kemarau dan banjir - syarat penting bagi mewujudkan peluang pekerjaan.
Air menyokong kesihatan, sistem makanan, tenaga serta dianggarkan 1.7 bilion pekerjaan di seluruh dunia; namun empat bilion penduduk masih berdepan kekurangan air.
Di banyak negara, dasar yang tidak jelas, peraturan lemah dan utiliti yang tidak mampan dari segi kewangan telah memperlahankan kemajuan serta menghalang pelaburan dalam sektor berkenaan.
Water Forward bertujuan menangani cabaran ini dengan membantu negara membangun membina sistem air yang lebih kukuh dan boleh dipercayai bagi meningkatkan produktiviti, menyokong sumber pendapatan serta membolehkan pelaburan sektor swasta.
Inisiatif itu akan menyokong pembaharuan bagi memperkukuh institusi, meningkatkan prestasi kewangan serta membangunkan projek yang bersedia untuk pelaburan.
“Air merupakan asas kepada cara ekonomi berfungsi. Apabila sistem air berfungsi dengan baik, petani dapat menghasilkan pengeluaran, perniagaan beroperasi dan bandar menarik pelaburan. Tugas kita sekarang ialah menyelaraskan pembaharuan, pembiayaan dan kerjasama bagi menyediakan perkhidmatan air yang boleh dipercayai pada skala besar,” kata Presiden Kumpulan Bank Dunia Ajay Banga.
Teras utama inisiatif itu ialah perjanjian air yang diterajui negara, menerusi pendekatan ini kerajaan menentukan keutamaan pembaharuan, komited memperkukuh institusi serta mewujudkan laluan pelaburan bagi sektor air masing-masing.
Sehingga kini, 14 negara mengumumkan perjanjian air nasional mereka di bawah inisiatif Water Forward, dengan banyak lagi sedang dilaksanakan.
Bank pembangunan pelbagai hala, kerajaan, badan filantropi dan pihak sektor swasta turut menyelaraskan pembiayaan serta kepakaran bagi mempercepat pelaburan dan pelaksanaan projek, sekali gus meningkatkan akses kepada bekalan air yang boleh dipercayai.
Kumpulan Bank Dunia komited menyediakan keselamatan air kepada 400 juta penduduk menjelang 2030. Dengan komitmen tambahan rakan kerjasama, Water Forward dijangka memberi manfaat kepada lebih satu bilion penduduk.
Dengan lebih 1.2 bilion golongan muda memasuki pasaran tenaga kerja di negara membangun dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang, bekalan air yang boleh dipercayai menjadi faktor kritikal. Sistem air yang kukuh amat penting bagi menyokong ekonomi sihat yang mampu menarik pelaburan swasta serta mewujudkan peluang pekerjaan.
-- BERNAMA-WAM