Skip to main content

Dunia

Selat Hormuz dibuka: 'Terima kasih, sekatan Iran kekal hingga rundingan selesai' - Trump

President Donald Trump
Trump menyifatkan perkembangan itu sebagai langkah positif terhadap kestabilan laluan maritim global, namun menegaskan sekatan ketenteraan Amerika Syarikat terhadap Iran masih berkuat kuasa. - Gambar fail

PRESIDEN Amerika Syarikat, Donald Trump menyambut baik pengumuman oleh Menteri Luar Iran, Abbas Aragchi bahawa Selat Hormuz kini dibuka sepenuhnya untuk laluan perdagangan antarabangsa.

Dalam kenyataan terbaharu, Trump menyifatkan perkembangan itu sebagai langkah positif terhadap kestabilan laluan maritim global, namun menegaskan sekatan ketenteraan Amerika Syarikat terhadap Iran masih berkuat kuasa.

"Iran baru sahaja mengumumkan bahawa Selat Hormuz kini dibuka sepenuhnya untuk laluan perdagangan. Terima kasih!

"Namun sekatan tentera laut akan terus dikuatkuasakan khusus terhadap Iran sehingga urusan Amerika Syarikat dengan Iran selesai sepenuhnya.

"Proses ini dijangka diselesaikan segera kerana kebanyakan perkara telah dirundingkan,” kata Trump menerusi satu hantaran di platform media sosial, pada Jumaat.

Terdahulu, Abbas Aragchi mengumumkan Selat Hormuz kembali beroperasi tanpa sekatan untuk laluan komersial sepanjang tempoh gencatan senjata, sekali gus meredakan kebimbangan komuniti antarabangsa terhadap gangguan bekalan minyak global.

Menurut Abbas, kapal-kapal melalui Selat Hormuz akan menggunakan laluan yang telah diselaraskan, seperti diumumkan sebelum ini oleh Pertubuhan Pelabuhan dan Maritim Iran.

Jelasnya lagi, perkara itu adalah selaras dengan gencatan senjata di Lubnan.

Selat Hormuz merupakan laluan kritikal bagi perdagangan tenaga dunia, dengan kira-kira satu perlima bekalan minyak global melalui kawasan tersebut setiap hari. 

Must Watch Video