KUALA LUMPUR: Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) memuji tindakan tegas Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) susulan operasi bersepadu di Sabah minggu lepas bagi membendung aktiviti pelancongan tidak berlesen.
Operasi penguatkuasaan bersepadu pada 9 dan 10 April itu dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), melibatkan kawasan sekitar Kota Kinabalu, Tawau dan Semporna.
Presiden MATTA Nigel Wong menyifatkan tindakan itu sebagai tepat pada masanya dan wajar dilaksanakan bagi membanteras aktiviti pelancongan tidak berlesen serta penyalahgunaan lesen ejen pelancongan.
Beliau berkata MATTA memuji MOTAC dan agensi rakan strategik atas tindakan bersepadu tersebut yang dilihat mampu menangani isu berpanjangan membabitkan pengendali pelancongan haram.
“MATTA menyokong penuh pengenaan hukuman maksimum terhadap pesalah di bawah Akta Industri Pelancongan 1992. Penguatkuasaan tegas termasuk denda berat dan hukuman penjara adalah penting bagi menghantar mesej jelas bahawa ketidakpatuhan tidak akan diterima,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Penguatkuasaan mesti seiring dengan hukuman yang memberi kesan. Pengenaan hukuman maksimum termasuk penjara, jika wajar, akan menjadi isyarat pencegahan yang kuat serta membuktikan Malaysia serius dalam menegakkan undang-undang sektor pelancongan,” katanya.
Wong berkata semua pihak termasuk individu yang menawarkan perkhidmatan pelancongan tanpa lesen sah -- sama ada melalui platform dalam talian, media sosial mahupun saluran fizikal — tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan.
Beliau berkata isu pengendali tidak berlesen bukan sekadar isu kawal selia, sebaliknya masalah sistemik yang sekian lama menjejaskan industri pelancongan negara.
Ia turut menyebabkan persaingan tidak adil, ketirisan hasil cukai, menjejaskan aspek keselamatan dan standard perkhidmatan, serta menghakis keyakinan pelancong terhadap Malaysia sebagai destinasi selamat dan profesional.
“Pengendali haram merosakkan pasaran dan mewujudkan ketidakseimbangan persaingan. Perniagaan berlesen yang mematuhi peraturan, melabur dalam kualiti dan membayar cukai tidak sepatutnya dipinggirkan oleh pihak yang beroperasi di luar sistem,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata usaha menangani operasi haram juga penting bagi memastikan kelestarian jangka panjang sektor pelancongan yang berasaskan tadbir urus kukuh, pematuhan peraturan dan persaingan saksama.
-- BERNAMA