PUTRAJAYA: Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM) komited untuk menyumbang secara membina melalui pendekatan mendidik dalam menangani isu kandungan seni, termasuk membangunkan ekosistem seni berteraskan nilai Islam menerusi inisiatif Layar Dakwah YADIM (LDY).
Merujuk kepada kandungan klip tular baru-baru ini, Yang Dipertua YADIM Datuk Dr Hasan Bahrom berkata LDY bukan sekadar platform tayangan, sebaliknya medan pembinaan bakat yang melatih dan membimbing pengkarya untuk menghasilkan karya seni berkualiti, berpengaruh dan patuh syariah.
"Program ini merangkumi penghasilan kandungan visual, filem pendek, forum, diskusi serta latihan industri yang memberikan pendedahan kepada penggiat seni tentang bagaimana mesej Islam dapat disampaikan secara berhikmah, relevan dan menyentuh jiwa tanpa mengabaikan nilai estetika.
"Diharapkan LDY mampu menjadi platform terbaik bagi industri seni negara untuk memperkukuh kefahaman masyarakat bahawa seni dan hiburan boleh bergerak seiring dengan nilai agama, akhlak dan pembinaan insan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Klip tular berdurasi kira-kira 10 saat itu memaparkan persembahan teater oleh sekumpulan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan didakwa memaparkan adegan ghairah berunsur 'soft porn'.
Menyifatkan perkara itu bukan sekadar polemik, Hasan berkata perbuatan itu mencerminkan cabaran sebenar dalam mengimbangi kebebasan berkarya dengan tanggungjawab moral, khususnya dalam konteks sebuah negara yang berteraskan nilai agama, budaya dan adab ketimuran.
Kebebasan berkarya dan berekspresi perlu disertai rasa tanggungjawab sosial serta penghormatan terhadap norma masyarakat kerana karya seni seharusnya menjadi medium mendidik dan membina akhlak.
Karya seni juga sewajarnya berperanan memperkukuh institusi keluarga dan menyampaikan mesej yang memberikan manfaat kepada masyarakat, bukannya mencetuskan polemik tidak sihat, terutamanya apabila melibatkan institusi pendidikan yang berperanan membentuk generasi masa depan.
Beliau berkata dalam kerangka Malaysia MADANI, nilai Ihsan, Hormat dan Kesejahteraan perlu dijadikan panduan dalam penghasilan kandungan seni dan hiburan.
"Semua pihak termasuk penganjur, penggiat seni dan institusi pendidikan diseru agar lebih bertanggungjawab dalam memastikan setiap karya yang dihasilkan selari dengan nilai murni masyarakat Malaysia," katanya.
Justeru, Hasan berkata yayasan itu mengajak seluruh masyarakat untuk menilai setiap bentuk hiburan dengan kebijaksanaan, berlandaskan ilmu, adab dan tanggungjawab bersama demi memastikan landskap seni negara berkembang secara sihat, bermaruah dan selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.
-- BERNAMA