Skip to main content

Malaysia

UKM raih perak AHIN 2026, satu-satunya IPT finalis kategori organisasi terunggul

AHIN, UKM -- Astro AWANI
Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Sufian Jusoh (tengah) bersama warga UKM yang menjadi finalis Anugerah Harta Intelek Negara (AHIN) 2026. - Foto UKM

KUALA LUMPUR: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meraih pingat perak bagi Anugerah Organisasi Terunggul (Pengurusan Harta Intelek Terbaik) pada Majlis Anugerah Harta Intelek Negara 2026 (AHIN 2026).

Pencapaian berkenaan menyaksikan UKM sebagai satu-satunya institusi pengajian tinggi (IPT) yang tersenarai sebagai finalis bagi kategori tersebut.

Pengarah Pusat Inovasi dan Pemindahan Teknologi (INOVASI-UKM) UKM Prof Dr Sawal Hamid Md Ali berkata pengiktirafan itu mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam pengurusan harta intelek serta keupayaan mengkomersialkan teknologi.

“Dalam sesi pembentangan kepada MyIPO, kami mengetengahkan pelbagai inisiatif dan program yang dilaksanakan bagi memastikan hasil penyelidikan universiti mampu menembusi pasaran serta memberi impak kepada industri dan masyarakat.

“Penilaian bagi anugerah ini merangkumi keseluruhan ekosistem pengurusan inovasi, bermula daripada proses pendaftaran harta intelek sehingga usaha peningkatan nilai dan penskalaan ke arah pengkomersialan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata antara aspek yang dinilai termasuk keupayaan institusi mengurus pendaftaran harta intelek secara sistematik, memperkasa hasil penyelidikan melalui program pembangunan kapasiti serta memastikan inovasi yang dihasilkan dapat diterjemahkan kepada produk atau teknologi berpotensi pasaran.

Sementara itu, Profesor dan Pakar Perunding Kanan Ortopedik Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM Prof Dr Mohd Yazid Bajuri meraih pingat gangsa bagi Anugerah Wira Inovatif (Paten) menerusi produk MyB Prosthetic Limb.

Beliau berkata inovasi dalam bidang prostetik dan ortotik itu direka khusus untuk individu dengan amputasi bawah lutut melalui syarikat pemula MyB Innovation Sdn Bhd.

“Prostetik ini dilengkapi fungsi pergerakan pada sendi buku lali bagi membolehkan pergerakan lebih fleksibel dan semula jadi.

“Dengan adanya fungsi ini, pengguna lebih mudah melakukan pergerakan di lantai termasuk untuk solat, yoga dan aktiviti harian lain,” katanya.

Anugerah itu dianjurkan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Must Watch Video