KOTA BHARU: Tourism Kelantan memeterai kontrak pelancongan bernilai RM2.3 juta bersama syarikat Jepun, Topview Holiday Japan Co Ltd bagi memperkukuh industri pelancongan ekologi di rantau Asia Tenggara, khususnya di negeri ini.
Pengarah Tourism Kelantan Mohd Azwan Ab Rahman berkata kontrak itu dimeterai melalui wakil rasminya di Internationale Tourismus-Börse (ITB) Berlin 2026 iaitu Inspire Travel Malaysia Sdn Bhd dengan syarikat Jepun berkenaan yang mempunyai pengalaman 32 tahun mengurus pelancongan Jepun ke pelbagai destinasi Asia dan antarabangsa.
Beliau berkata langkah strategik itu diambil dalam usaha memperkukuh kedudukan Kelantan sebagai destinasi pelancongan ekologi di Asia Tenggara.
“Melalui perjanjian ini, produk ekopelancongan Kelantan khususnya di Dabong dan Jeli akan diperkukuh sebagai tumpuan baharu pelancong,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Azwan, perjanjian itu turut memberi tumpuan kepada promosi ekopelancongan berasaskan flora dan fauna di Dabong dan Jeli yang masih kurang diterokai namun mempunyai potensi besar untuk pasaran Jepun dan Eropah.
Beliau berkata antara tarikan utama di kawasan berkenaan ialah keindahan alam semula jadi yang masih terpelihara selain kewujudan flora dan fauna unik serta jarang ditemui.
“Air Terjun Gunung Stong juga antara ‘permata tersembunyi’ yang semakin mendapat perhatian pelancong luar negara,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Topview Holiday Japan Co Ltd Bill Cheng berkata pihaknya komited membawa kumpulan pelancong Jepun ke Kelantan susulan pembukaan fasiliti baharu di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra yang kini bersedia menerima ketibaan antarabangsa.
Beliau berkata kumpulan pertama pelancong Jepun dijangka tiba pada akhir April ini dengan sasaran keseluruhan sebanyak 2,300 orang ke Kelantan sepanjang tahun ini.
-- BERNAMA