KUALA LUMPUR: Kedutaan Besar Malaysia di Doha, Qatar akan melaksanakan dua program dalam talian bagi mengurangkan tekanan dan meningkatkan motivasi serta keyakinan 142 rakyat Malaysia yang kini terkandas di negara itu susulan situasi tegang di Asia Barat.
Duta Besar Malaysia ke Qatar Mohd Faizal Razali berkata program berkenaan adalah wacana minda yang akan membincangkan perkara yang perlu dilakukan ketika berdepan situasi di negara itu dan program muzik Ramadan Nirplag melibatkan pemuzik Qatar.
“Saya harap rakyat Malaysia di Qatar akan menyokong program dan bersatu dalam keadaan sukar ini,” katanya ketika menjadi tetamu secara maya dalam program Malaysia Petang Ini: Konflik Asia Barat: Situasi Terkini di Qatar yang disiarkan Bernama TV pada Khamis.
Menurut beliau, seramai 142 warga Malaysia sedang transit di Qatar pada masa ini dan kesemua mereka sudah dikenal pasti dan kini ditempatkan di beberapa hotel di sekitar Doha. Mereka merupakan penumpang Malaysia Airlines dan Qatar Airways.
Wakil Kedutaan Malaysia turut ditempatkan di hotel yang sama bagi memastikan kebajikan mereka sentiasa terjaga, katanya.
Mohd Faizal berkata keadaan di Qatar sekarang ini masih lagi tidak menentu. Bagaimanapun, semua 5,500 rakyat Malaysia yang berada di Qatar dalam keadaan baik dan tiada laporan yang menyatakan bahawa mana-mana rakyat Malaysia mengalami kecederaan dan sebagainya.
Beliau berkata pihak kedutaan sentiasa menasihatkan warga Malaysia di Qatar untuk sentiasa mengikuti berita hanya dari sumber-sumber yang sahih terutamanya notis-notis yang dikeluarkan pihak kedutaan, pihak Kementerian Luar Negeri Qatar dan Kementerian Dalam Negeri Qatar dan pihak Pertahanan Qatar.
“Rakyat Malaysia juga dinasihatkan untuk tidak berkongsi berita tidak sahih. Qatar mempunyai undang-undang yang dikuatkuasakan dari segi penyebaran maklumat dan rakyat Malaysia sentiasa mematuhi undang-undang ini,” katanya.
Menurut Mohd Faizal, ruang udara Qatar masih belum dibuka, namun pintu sempadan Qatar dibuka dan operasi penerbangan di Riyadh dan Muscat sudah disambung.
Beliau berkata jika ada keperluan mendesak rakyat Malaysia boleh menggunakan jalan darat ke Arab Saudi namun pendekatan ini adalah tidak digalakkan dan perlu diatur mereka sendiri.
Kedutaan Besar Malaysia di Doha akan cuba bantu selagi boleh sehingga ke sempadan Qatar- Arab Saudi, katanya.
Mohd Faizal turut meminta keluarga rakyat Malaysia yang berada di Qatar untuk tidak risau kerana keselamatan dan kebajikan warga Malaysia di negara ini sentiasa dipantau dan bekalan makanan mencukupi.
Situasi di Asia Barat tegang sejak Sabtu lepas (28 Februari) apabila Israel dan sekutunya, Amerika Syarikat (AS) menyerang Iran menyebabkan Tehran melakukan serangan balas terhadap kepentingan AS di negara Teluk.
Perkembangan ini menyaksikan negara Teluk menutup ruang udara atau membenarkan laluan penerbangan terhad menyebabkan syarikat penerbangan yang berpangkalan di rantau berkenaan menggantung operasi dan ribuan penumpang dari pelbagai negara terkandas.
-- BERNAMA