KUALA LUMPUR: Perpecahan dalam kalangan negara anggota telah menyebabkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah (EU) tidak dapat bertindak secara berkesan untuk mengelakkan konflik Asia Barat berlarutan.
Pensyarah Pengajian Sejarah, Pusat Pengajian Oriental dan Afrika (SOAS) University of London, Dr. Rowena Abdul Razak berkata, setakat ini badan dunia tersebut hanya boleh memberikan pernyataan sikap terhadap konflik di Asia Barat.
“Ketika ini kita ada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai sebuah organisasi yang cuba menggesa agar negara-negara bertindak secara muhasabah. Namun, akhirnya PBB tidak boleh mencapai tindakan bermakna.
“Kesatuan Eropah (EU) pula sama seperti PBB yang boleh menggesa tindakan bertanggungjawab. Tetapi dalam kalangan negara anggota EU juga, kesepakatan tidak dapat dicapai.
“Jerman menyatakan kesediaan untuk terlibat dalam konflik. Perancis pula memberi reaksi berbelah bahagi. United Kingdom (UK) pula nyatakan tidak mahu terlibat dalam konflik ini.
“Oleh itu, sokongan negara-negara anggota ini penting. Tanpa sokongan yang mencukupi maka pertubuhan ini tidak boleh bekerjasama kerana setiap negara ada pendirian masing-masing," katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
Dalam pada itu, Presiden MERCY Malaysia, Datuk Dr. Ahmad Faizal Perdaus pula berpandangan, serangan AS dan Israel ke atas Iran kali ini telah memaksa beberapa negara Eropah untuk menunjukkan sikap berprinsip yang lebih nyata.
“Sudah nampak ada percanggahan secara prinsip, bahawa orang Eropah masih mahu berpegang kepada prinsip dan undang-undang antarabangsa.
“EU dan negara-negara utama EU secara jelas nyatakan penolakan terhadap penyertaan dalam BOP adalah kerana tidak mahu membelakangkan PBB.
“Ini kerana mereka merasakan dunia masih memerlukan sistem kerjasama antarabangsa melalui saluran PBB. Ini penting dalam konteks politik, diplomatik dan sekiranya kita mahu menghantar bantuan dalam mana-mana konflik,” ujarnya.
Sejak Sabtu, AS dan Israel meneruskan serangan udara ke atas Iran yang telah mengorbankan lebih 1,200 orang awam.