Skip to main content

Politik

Pas perlu berani tonjolkan Samsuri, jangan turut kehendak Bersatu - Penganalisis

51767849763_TBAhmadSamsuri.jpg
Kedudukan Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN ketika ini sebenarnya memberikan mandat penting kepada beliau untuk menentukan hala tuju gabungan berkenaan ke peringkat lebih tinggi. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Pas tidak perlu mengikut kehendak Bersatu, sebaliknya mesti menonjolkan keberanian untuk menamakan Naib Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon Perdana Menteri bagi Perikatan Nasional (PN), kata penganalisis politik.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata kedudukan Ahmad Samsuri atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Dr Sam’ sebagai Pengerusi PN ketika ini sebenarnya memberikan mandat penting kepada beliau untuk menentukan hala tuju gabungan berkenaan ke peringkat lebih tinggi.

Beliau berkata Pas mempunyai kekuatan politik yang signifikan dalam PN dan perlu mengurus kekuatan tersebut dengan lebih strategik bagi memperkukuh kedudukan parti itu dalam gabungan berkenaan.

“Pas kena berani menuntut, bukan menurut kehendak Bersatu,” katanya ketika mengulas kenyataan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa pelantikan Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN bukan jaminan Menteri Besar Terengganu itu akan dinamakan sebagai calon Perdana Menteri PN.

Bercakap kepada Bernama, Mohd Izani berkata kenyataan Muhyiddin itu berpotensi menimbulkan pelbagai tafsiran termasuk kemungkinan wujud ketidakselesaan dalam kalangan pemimpin Bersatu sekiranya Ahmad Samsuri dicalonkan sebagai Perdana Menteri.

Beliau berkata dari sudut pengurusan politik, kenyataan bahawa Pengerusi PN tidak semestinya calon Perdana Menteri boleh mencetuskan spekulasi seolah-olah Muhyiddin tidak merestui Ahli Parlimen Kemaman itu sebagai calon bagi jawatan berkenaan atau masih berminat untuk kembali memegang jawatan tersebut.

“Dalam keadaan di mana Bersatu sendiri dilihat tidak stabil serta berpecah, saya berpandangan tidak sesuai untuk Muhyiddin mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan polemik dalam gabungan PN, terutamanya Pas.

“Muhyiddin tidak sepatutnya kata Pengerusi PN tidak semestinya calon PM kerana ini akan menimbulkan spekulasi seolah-olah beliau tidak merestui Ahmad Samsuri sebagai calon Perdana Menteri atau beliau masih lagi berminat untuk jawatan itu,” katanya.

Mohd Izani berkata sebagai pemimpin yang pernah menyandang jawatan Perdana Menteri, Muhyiddin sepatutnya mengambil pendekatan lebih terbuka dengan memberi ruang kepada kepimpinan baharu dalam PN.

Katanya Ahli Parlimen Pagoh itu wajar mengambil sikap sebagai seorang negarawan dengan menyokong jika Pengerusi PN dicadangkan sebagai calon Perdana Menteri, bukannya memberikan kenyataan yang boleh ditafsirkan beliau masih berminat untuk mengisi jawatan tersebut.

Pada masa sama, Mohd Izani berkata Pas juga perlu belajar daripada pengalaman selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila parti itu muncul sebagai parti dengan jumlah kerusi terbesar dalam PN namun gagal memanfaatkan kekuatan tersebut dalam rundingan pembentukan kerajaan.

“Masa PRU15, Pas menang dengan kerusi terbanyak, tapi tidak boleh bincang dan runding dengan parti-parti lain untuk tubuh kerajaan. Saya berpandangan inilah kelemahan Pas, dia tidak pandai mengurus kekuatan yang ada untuk ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata pelantikan Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN ketika ini merupakan peluang terbaik untuk Pas menonjolkan kekuatan dan kebolehan sebenar parti itu dalam gabungan berkenaan, seterusnya memanfaatkan mandat tersebut untuk menentukan hala tuju PN termasuk bersedia menduduki kerusi Perdana Menteri jika gabungan itu menang pada PRU16.

Sementara itu, Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur Prof Madya Dr Mazlan Ali berpandangan kenyataan Muhyiddin itu sekadar untuk mengawal persepsi dan polemik serta rasa tidak puas hati dalam kalangan parti Bersatu selepas terdapat ‘cakap-cakap’ dalam Pas untuk membawa Ahmad Samsuri menjadi Perdana Menteri.

Beliau berkata secara konvensyen politik, jawatan pengerusi gabungan memang memberi kelebihan moral untuk dinamakan sebagai calon Perdana Menteri, sebagaimana berlaku kepada beberapa pemimpin terdahulu termasuk Muhyiddin semasa mengetuai PN.

“Sebab itu, kita dapat lihat kenyataan Pengerusi PN tidak semestinya calon Perdana Menteri merupakan cubaan mengendurkan keadaan sehingga dinamika isu bagi Bersatu dan gabungan PN itu dapat diuruskan dengan baik.

“Polemik siapa Perdana Menteri ini boleh membawa perpecahan dan keadaan yang tidak baik kepada PN. Jadi kenyataan Muhyiddin itu adalah langkah taktikal yang boleh ditafsir sebagai usaha meredakan ketegangan antara parti komponen,” katanya.

Bagi Pensyarah Sosiologi Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian dari segi strategik, kenyataan Muhyiddin itu membuka ruang dalaman antara Bersatu dan Pas mengurus persepsi, sekali gus mengelakkan perebutan kepimpinan terlalu awal sebelum PRU akan datang.

“Ia juga memberi fleksibiliti sekiranya calon lain termasuk dari Pas mempunyai sokongan kerusi yang lebih meyakinkan,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video