Skip to main content

Malaysia

Bekas Pengarah SRC tidak tahu pemindahan RM42 juta kepada Najib, mahkamah diberitahu

61560413150_TanSriIsmeeIsmail.jpg
Ismee menjelaskan bahawa beliau meletak jawatan sebagai pengarah SRC pada 15 Ogos 2014, manakala pemindahan yang dipersoalkan didakwa berlaku antara Disember 2014 dan Februari 2015. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Bekas pengarah SRC International Sdn Bhd memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak mempunyai pengetahuan mengenai pemindahan RM42 juta daripada syarikat itu kepada akaun bank peribadi milik Datuk Seri Najib Tun Razak.

Wang RM42 juta tersebut merupakan sebahagian daripada RM123 juta yang dipinjam SRC daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), sebelum disalurkan kepada akaun Najib melalui Ihsan Perdana Sdn Bhd, iaitu syarikat yang menguruskan program tanggungjawab sosial korporat untuk SRC.

Tan Sri Ismee Ismail, 61, berkata beliau langsung tidak dimaklumkan mengenai transaksi berkenaan dan hanya mengetahui perkara tersebut selepas dipanggil pihak berkuasa bagi membantu siasatan berkaitan pinjaman KWAP tersebut.

Beliau berkata demikian dalam pernyataan saksinya pada perbicaraan kes saman sivil RM42 juta yang difailkan terhadap Najib oleh SRC dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd.

Ismee menjelaskan bahawa beliau meletak jawatan sebagai pengarah SRC pada 15 Ogos 2014, manakala pemindahan yang dipersoalkan didakwa berlaku antara Disember 2014 dan Februari 2015.

"Saya langsung tidak terlibat dalam sebarang perkara mengenai permohonan pinjaman KWAP tersebut. Semasa saya mula menjadi pengarah SRC, permohonan pinjaman tersebut dibuat terlebih dahulu dan kelulusan telah pun diperoleh.

"Pada hemat saya, penglibatan Datuk Seri Najib dalam perkara ini adalah mengenai jaminan kerajaan. Pinjaman tersebut adalah pinjaman yang dijamin oleh kerajaan, di mana Datuk Seri Najib pada masa itu merupakan Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan," katanya.

Sementara itu, Ismee berkata mengikut pemahaman dan anggapannya, Lembaga Pengarah SRC tidak boleh membuat sebarang keputusan bertentangan atau menolak resolusi pemegang saham yang telah dibentangkan.

"Ini kerana apa-apa keputusan dan resolusi tersebut bukan sahaja daripada Datuk Seri Najib, tetapi juga daripada Menteri Kewangan yang secara langsung adalah keputusan dari kerajaan, yang mana Datuk Seri Najib juga merupakan Perdana Menteri ketika itu.

"Sebarang keputusan dibuat atau akan dibuat oleh SRC adalah dicadangkan, ditentukan dan ditetapkan oleh pemegang sahamnya iaitu Menteri Kewangan Diperbadankan. Saya dan pengarah SRC lain hanya akan dibentangkan dengan resolusi yang telah ditetapkan tersebut," kata Ismee yang turut memaklumkan bahawa Lembaga Pengarah SRC hanya dipertanggungjawabkan untuk meluluskan resolusi itu.

Mengulas mengenai dakwaan Najib bahawa Lembaga Pengarah SRC juga seharusnya dipertanggungjawabkan untuk membayar ganti rugi kerana melanggar tanggungjawab fidusiari, Ismee berkata tuntutan itu sama sekali tidak berasas.

"Saya dan ahli lembaga pengarah SRC lain melaksanakan arahan serta keputusan pemegang saham dengan niat baik tanpa mengesyaki sebarang salah laku atau jenayah, kerana pada pemahaman saya ketika itu, ia adalah hasrat kerajaan untuk melaksanakan pelaburan demi kepentingan negara melalui SRC sebagai "special purpose vehicle".

"Selain itu, selepas saya meletak jawatan, saya tidak mempunyai kuasa untuk mengawasi urusan pentadbiran atau perniagaan SRC dan sebarang pemindahan selepas itu, termasuk RM42 juta yang didakwa berlaku tanpa pengetahuan atau penglibatan saya," katanya.

SRC dan Gandingan Mentari yang memfailkan saman itu pada 2021 memohon deklarasi bahawa Najib bertanggungjawab terhadap dana berjumlah RM42 juta dan menuntut ganti rugi atas dakwaan penerimaan secara sedar, bantuan tidak jujur, salah laku dalam jawatan awam serta salah guna kuasa.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung esok.

-- BERNAMA

Must Watch Video