KUCHING: Platform video pendek global, TikTok mengukuhkan komitmen dalam memperkasa peranan ibu bapa melalui usaha literasi digital.
Pengurus Dasar Awam TikTok Malaysia Aliff Zakaria berkata TikTok turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memastikan kandungan disiarkan mematuhi undang-undang negara serta menghormati sensitiviti adat budaya tempatan.
Beliau berkata langkah itu bagi memastikan komuniti globalnya, termasuk lebih 460 juta pengguna di Asia Tenggara dan rakyat Malaysia dapat menggunakan aplikasi berkenaan secara sihat, positif dan kreatif.
“Kami memiliki ribuan moderator multibahasa di seluruh dunia yang menguasai lebih 70 bahasa untuk menilai dan menyemak kandungan.
“Jika terdapat laporan mengenai pelanggaran undang-undang atau sensitiviti budaya, tindakan tegas akan diambil serta-merta,” katanya dalam sesi Perkongsian Tips Keselamatan Dalam Talian bersempena dengan Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat Peringkat Daerah Kuching di sini, hari ini.
Mengulas tentang keselamatan golongan remaja, beliau berkata platform itu mengamalkan pendekatan "Keselamatan melalui Reka Bentuk" dengan menetapkan sekatan had umur yang ketat secara automatik.
“Pengguna di bawah umur 16 tahun dilarang sama sekali menggunakan ciri mesej langsung (DM), manakala fungsi memberikan atau menerima hadiah hanya dibuka kepada pengguna berusia 18 tahun ke atas bagi melindungi golongan bawah umur.
“Bagi mengimbangi masa skrin dan menangani isu ketagihan gajet, TikTok turut memperkasakan peranan ibu bapa menerusi ciri Family Pairing (Gandingan Keluarga),” katanya.
Aliff berkata melalui ciri Family Pairing itu, ibu bapa diberi akses ciri keselamatan untuk memantau anak-anak seperti menetapkan had masa penggunaan TikTok, menyekat akses pada waktu makan keluarga dan mengawal jenis topik serta kata kunci yang boleh ditonton oleh anak mereka.
Beliau berkata aplikasi tersebut turut dilengkapi dengan ciri notifikasi waktu tidur automatik untuk memastikan remaja mendapat rehat secukupnya, selain sistem kelulusan masa skrin yang memerlukan kebenaran terus daripada ibu bapa sekiranya anak-anak meminta masa tambahan.
Dalam pada itu, Aliff berkata TikTok bukan sahaja platform hiburan, tetapi turut menyediakan tab khas untuk Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Beliau berkata platform itu juga giat digunakan oleh para guru untuk berkongsi modul sekolah dan tutorial peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Ibu bapa diseru untuk memanfaatkan ciri-ciri keselamatan dan kandungan pendidikan ini bersama dengan anak-anak bagi mewujudkan ekosistem digital yang seimbang dan bermanfaat untuk masa depan,” katanya.
-- BERNAMA