TEHRAN: Seorang pegawai kanan Korps Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran berpendapat kemungkinan tercetusnya konflik berskala besar dengan Amerika Syarikat (AS) adalah rendah, namun memberi amaran Tehran sedia mempertahankan wilayahnya.
Menurut laporan agensi berita Tasnim, Timbalan Ketua Politik Tentera Laut IRGC, Mohammad Akbarzadeh berkata penilaian itu dibuat berdasarkan kemampuan semasa pihak lawan.
“Kemungkinan berlakunya perang adalah rendah, namun angkatan tentera kami sentiasa bersiap sedia,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mengeluarkan amaran bahawa Iran akan bertindak mempertahankan kawasan pesisir sekiranya berlaku sebarang pencerobohan.
“Jangan ragu-ragu bahawa kami akan mempertahankan wilayah kami,” katanya, merujuk kepada kawasan strategik sepanjang pantai selatan Iran termasuk Chabahar hingga Mahshahr.
Kenyataan itu dibuat ketika usaha diplomatik antarabangsa sedang giat dijalankan, termasuk rundingan yang melibatkan Pakistan dan China di Beijing serta perbincangan Iran di Qatar mengenai isu pelepasan dana yang dibekukan oleh AS.