Skip to main content

Malaysia

[TERKINI] PRN Johor: SPR sedia tentukan garis masa selepas notis rasmi diterima

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia - SPR -- FB
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan adakan mesyuarat khas tetapkan tarikh penting PRN Johor selepas terima pemakluman rasmi pembubaran Dewan Negeri.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebaik sahaja menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Negeri Johor berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, pihaknya mengambil maklum pengumuman oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini mengenai pembubaran DUN Johor Ke-15.

“Sehubungan itu, SPR akan memaklumkan tarikh Mesyuarat Khas bagi menentukan rangka kerja serta tarikh-tarikh penting PRN Johor ke-16 selepas menerima notis rasmi daripada Speaker Dewan Negeri Johor,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi sebelum ini mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berkuat kuasa hari ini.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail pagi Isnin.

“Watikah pembubaran DUN Johor Ke-15 telah diperkenankan berkuat kuasa hari ini selaras Undang-Undang Tubuh Negeri Johor.

“Pembubaran ini dibuat bagi memberi laluan kepada proses demokrasi.

"Keputusan ini dibuat dengan niat memastikan rakyat Johor terus memiliki kerajaan stabil dan kukuh,” katanya pada sidang media di Kediaman Menteri Besar Johor, pada Selasa.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, Barisan Nasional (BN) memenangi 40 kerusi Dewan Undangan Negeri, diikuti Pakatan Harapan (PH) dengan 12 kerusi, dan Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi.

Must Watch Video

Advertisement