KABUL: Afghanistan merekodkan antara kadar kematian ibu ketika bersalin tertinggi di dunia, dengan dianggarkan 600 kematian bagi setiap 100,000 kelahiran hidup, menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA), lapor media tempatan TOLOnews pada Isnin.
Menurut laporan itu, akses kepada perkhidmatan kesihatan oleh petugas mahir serta kehadiran petugas kesihatan wanita kekal penting dalam usaha menyelamatkan nyawa ibu dan bayi baharu lahir di seluruh negara.
Walaupun usaha berterusan dilakukan untuk menambah baik perkhidmatan kesihatan, akses kepada penjagaan ibu masih menjadi cabaran besar, terutama di kawasan pedalaman dan kawasan kurang mendapat perkhidmatan petugas perubatan terlatih serta kemudahan kesihatan, menurut laporan itu.
Menurut OCHA, kekurangan perkhidmatan penjagaan kesihatan ibu menyebabkan ramai wanita terdedah kepada komplikasi yang boleh dicegah semasa kehamilan dan bersalin, sekali gus menyumbang kepada kadar kematian tinggi di negara itu.
Agensi itu menegaskan keperluan memperkukuh sistem kesihatan dan memperluas akses kepada penjagaan penting untuk ibu serta bayi baharu lahir, sambil menekankan bahawa penambahbaikan perkhidmatan kesihatan penting bagi mengurangkan kematian yang boleh dicegah dan meningkatkan tahap kesihatan awam di Afghanistan.
-- BERNAMA-XINHUA