TANAH MERAH: Polis mengesahkan seorang lelaki yang disyaki menumbuk bapanya hingga maut dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Masjid Baung Bayam, Kota Bharu pada Isnin lepas menghidap skizofrenia.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila mangsa berusia 83 tahun menegur suspek berusia 41 tahun yang ketika itu sedang membuang air.
“Akibat teguran berkenaan, suspek dipercayai terkejut lalu berpusing dan terus menumbuk bapanya.
“Tumbukan itu menyebabkan mangsa terjatuh terlentang dan kepalanya terhantuk pada lantai simen sehingga mengakibatkan kecederaan parah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah di sini hari ini.
Mohd Yusoff berkata kejadian itu turut disaksikan oleh adik lelaki suspek yang berada di lokasi.
“Selepas kejadian, mangsa menegur perbuatan suspek, namun suspek yang kelihatan terpinga-pinga kemudian naik ke tingkat atas rumah untuk tidur,” katanya.
Beliau berkata suspek kini direman bagi membantu siasatan manakala penilaian lanjut berkaitan tahap kesihatan mentalnya akan dijalankan oleh pakar.
Semalam, polis mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan pada kepala dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu.
Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama polis Thailand berjaya mengesan sebuah kenderaan utiliti sukan Toyota Fortuner milik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan yang dilarikan ke negara jiran berkenaan.
Mohd Yusoff berkata kenderaan itu bagaimanapun masih berada di Thailand bagi membolehkan pihak berkuasa di negara berkenaan menjalankan siasatan dan ujian forensik.
“Buat masa ini, kenderaan itu masih disiasat di sana untuk proses forensik seperti mengambil cap jari bagi mengesan suspek atau penjenayah yang terlibat.
“Kami telah menghantar surat untuk membawa pulang kereta itu bagi meneruskan siasatan di sini, namun ia perlu melengkapkan proses forensik di Thailand terlebih dahulu,” katanya.
Pada awal pagi 12 April lepas, dua kenderaan milik JKM Kelewek, Tanah Merah dilarikan oleh sekumpulan empat hingga lima suspek yang memecah masuk kawasan premis pejabat agensi itu.
Pengarah JKM Kelantan Che Samsuzuki Che Noh dilaporkan berkata menerusi kamera litar tertutup di premis berkenaan, kejadian berlaku pada 4.30 pagi apabila seorang petugas keselamatan didatangi kumpulan suspek sebelum tangannya diikat.
-- BERNAMA