Skip to main content

Malaysia

Anjakan berteraskan digital kepada AI kini bentuk landskap perniagaan, industri - Wilson

KUALA LUMPUR, April 23 -- Deputy Digital Minister Datuk Wilson Ugak Kumbong visits exhibition booths at the Corporate Innovation Global Summit 2026 (CIGS 2026) at Etiqa Twins, here today.  -- fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED
Wilson melawat ruang pameran pada CIGS 2026 di Kuala Lumpur, hari ini. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Peralihan daripada “born digital” yang berasaskan digital kepada “born AI” atau kecerdasan buatan kini menjadi teras model perniagaan, produk serta industri baharu.

Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata AI juga terbukti berkembang daripada sekadar berperanan sebagai mekanisme sokongan kepada pemacu utama inovasi selain membentuk kemajuan perniagaan dan mewujudkan penyelesaian baharu.

“Pada sedekad lalu, tumpuan adalah ‘born digital’ iaitu memanfaatkan teknologi bagi pemodenan operasi dan memacu pertumbuhan.

“(Namun) hari ini, kita menyaksikan kemunculan syarikat kelahiran ‘born AI’ dan AI ini bukan sekadar alat sokongan tetapi asas utama kepada model perniagaan, produk dan industri baharu,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak Inovasi Korporat Global (CIGS) 2026 di sini, hari ini.

Wilson yang mewakili Menteri Digital Gobind Singh Deo bagi menyempurnakan perasmian sidang berkenaan berkata inovasi kini bergantung kepada sepantas mana organisasi dapat melakukan penciptaan bersama, melakukan eksperimen, melaksanakan serta meningkatkan hasil daripada usaha berkenaan.

Berikutan itu, perniagaan semakin berganjak daripada model tradisional yang dipacu oleh vendor ke arah ekosistem berasaskan kerjasama.

“Kalangan korporat kini semakin giat mentakrifkan cabaran sebenar perniagaan dan bekerja seiringan syarikat pemula niaga dan pelabur untuk mengatasinya ketika inovasi berkembang pesat menerusi kerjasama berbanding secara terasing,” katanya.

Atas alasan itu, Wilson menyifatkan forum seperti CIGS sebagai kritikal kerana membolehkan korporat berinteraksi dengan teknologi secara mendalam, membantu syarikat pemula serta perusahaan kecil dan sederhana mendapat akses peluang pasaran sebenar, pelabur mengenal pasti penyelesaian yang boleh dipertingkat selain menyokong kerajaan mewujudkan persekitaran kondusif.

Menyentuh agenda digital Malaysia, beliau berkata kerajaan komited untuk meletakkan negara ini dipacu oleh AI menjelang 2030 yang selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.

“Ini memerlukan lebih daripada sekadar penggunaan teknologi dan melibatkan dasar tepat, institusi kukuh serta platform kerjasama,” katanya.

Pada masa sama, Wilson berkata pendekatan keseluruhan ekosistem juga penting untuk memacu inovasi secara berskala, melibatkan usaha yang diselaraskan antara kerajaan, syarikat korporat dan syarikat pemula.

“Kerajaan secara sendirian tidak boleh memacu skala itu. Syarikat korporat tidak boleh melakukan inovasi dalam ruang terasing, syarikat pemula tidak dapat mentransformasi industri tanpa akses pasaran. Inilah alasannya kita perlukan pendekatan keseluruhan ekosistem itu,” katanya.

Wilson berkata Malaysia mempunyai kekuatan utama bagi menyokong peralihan itu, termasuk bakat, infrastruktur digital yang berkembang pesat, ekosistem syarikat pemula yang matang serta inisiatif nasional yang kukuh.

“Langkah seterusnya adalah untuk menterjemah momentum ini kepada penerimagunaan inovasi domestik lebih kukuh, kerjasama korporat-syarikat pemula dan membawa penyelesaian Malaysia ke pasaran serantau dan global,” katanya.

CIGS 2026 yang dianjurkan bersama oleh NEXEA dan MyInnovationX, menghimpunkan kira-kira 300 pemimpin korporat, syarikat pemula, pelaburan dan sektor awam dengan menyediakan platform memudahcara perbincangan dan kerjasama yang menumpukan pakatan selain memajukan inovasi di sepanjang industri.

-- BERNAMA

Must Watch Video