Skip to main content

Malaysia

Suspek pukul isteri hingga keguguran direman tujuh hari

Sumber: Astro AWANI
Suspek lelaki bersabit kes memukul isteri hingga menyebabkan keguguran dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Petani hari ini. - Foto Astro AWANI

SUNGAI PETANI: Suspek lelaki bersabit kes memukul isterinya sehingga menyebabkan keguguran di Ambangan Height, Khamis lalu direman tujuh hari di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Permohonan reman ke atas suspek dikeluarkan oleh Majistret Mohammad Azlan Basri bermula hari ini sehingga 5 Mei bagi polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini media melaporkan, seorang wanita cedera di beberapa bahagian badan dipercayai dipukul suaminya sehingga menyebabkan mangsa turut mengalami keguguran ketika kandungan berusia 12 minggu.

Wanita berusia 39 tahun yang juga penjawat awam itu keguguran ketika kandungan berusia 12 minggu.

Mangsa dipercayai dipukul dengan teruk menggunakan penyangkut baju, getah paip dan batang besi langsir serta batang penyapu hingga patah dan mengalami kecederaan pada  tangan dan jari kirinya patah, lebam di muka selain tulang rusuknya berkemungkinan patah termasuk ditumbuk di perut.

Selain itu, polis turut mengesahkan suspek adalah individu sama yang terbabit dalam kejadian mencederakan wanita di Johor Bharu Selatan dan dikesan polis pada tahun 2021.

Dalam kenyataan media pada 18 Mei 2021 itu, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Johor Bahru ketika itu sedang mengesan seorang saksi bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Butiran saksi terbabit pada masa itu berusia 38 tahun dan bekerja sebagai peniaga dengan alamat terakhir di Perumahan Polis, Taman Derga Jaya, Alor Setar.

 

Must Watch Video