Skip to main content

Malaysia

Sabah keluarkan lebih 16,000 hektar tanah bekas konsesi SFI untuk rizab kampung

41718356047_DUNSabah.jpg
Secara keseluruhan, kira-kira 16,021 hektar kawasan telah dikeluarkan termasuk 15,977 hektar dari Hutan Simpan Sipitang Kelas II pada 2025 serta 44 hektar lagi pada 2023. - Gambar hiasan

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah telah mengeluarkan lebih 16,000 hektar tanah daripada bekas konsesi Sabah Forest Industries Sdn Bhd (SFI) bagi tujuan pewartaan sebagai rizab perkampungan untuk manfaat komuniti setempat.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Joniston Bangkuai berkata secara keseluruhan, kira-kira 16,021 hektar kawasan telah dikeluarkan termasuk 15,977 hektar dari Hutan Simpan Sipitang Kelas II pada 2025 serta 44 hektar lagi pada 2023.

Beliau berkata pewartaan kawasan berkenaan dibuat hasil penelitian Jabatan Perhutanan Sabah melalui sesi libat urus bersama pemimpin masyarakat serta penduduk kampung.

“Hasil penelitian oleh Jabatan Perhutanan Sabah melalui sesi libat urus bersama pemimpin masyarakat, ketua komuniti serta penduduk kampung, beberapa kawasan hutan simpan yang dibubarkan adalah untuk memberi manfaat kepada penduduk kampung,” katanya ketika menjawab soalan Yusri Pungut (Warisan-Sindumin) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, di sini, hari ini.

Yusri sebelum itu membangkitkan tentang isu pengeluaran kira-kira 16,187 hektar tanah dari kawasan konsesi SFI oleh kerajaan negeri untuk diwartakan sebagai rizab perkampungan.

Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Yusri berhubung nasib bekas pekerja SFI, Joniston berkata kerajaan negeri akan meneliti perkara tersebut bagi memastikan kebajikan golongan berkenaan dapat dibantu dan diberi perhatian termasuk penduduk di kawasan sekitar.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang), beliau berkata kedudukan SFI ketika ini melibatkan beberapa aspek perundangan dan perlu ditangani secara berhati-hati.

Joniston berkata pada masa yang sama kerajaan negeri turut memantau keadaan di lapangan termasuk aspek keselamatan serta pemeliharaan aset khususnya melibatkan sumber bernilai seperti kayu Acacia dan Eucalyptus.

Pada Sept 2021, Kerajaan Negeri Sabah telah membatalkan Perjanjian Lesen SFI susulan syarikat itu yang dimiliki Ballarpur Industries diisytiharkan muflis dan tidak lagi mengusahakan kawasan lesen berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video