Skip to main content

Malaysia

Tarikh akhir kemuka e-filing Tahun Taksiran 2025 pada 15 Mei - LHDN

51697188183_LHDN.jpg
Menurut LHDN dalam kenyataan hari ini, selaras dengan pelaksanaan mandatori pengemukaan BN melalui e-filing, pembayar cukai diberikan tambahan masa selama 15 hari daripada tarikh akhir yang ditetapkan iaitu esok, untuk mengemukakan BN dengan tepat dan lengkap. -Gambar fail

PUTRAJAYA: Tarikh akhir pengemukaan Borang Nyata (BN) bagi Tahun Taksiran 2025 untuk individu dan selain individu iaitu pertubuhan, harta pusaka dan keluarga sekutu hindu yang tidak menjalankan perniagaan ialah pada 15 Mei.

Menurut LHDN dalam kenyataan hari ini, selaras dengan pelaksanaan mandatori pengemukaan BN melalui e-filing, pembayar cukai diberikan tambahan masa selama 15 hari daripada tarikh akhir yang ditetapkan iaitu esok, untuk mengemukakan BN dengan tepat dan lengkap.

"Pembayar cukai disaran agar memanfaatkan tempoh lanjutan ini dengan mengemukakan BN lebih awal bagi memastikan kelancaran proses dan mengelakkan kesesakan capaian sistem menjelang tarikh akhir.

"Sehubungan dengan itu, LHDN ingin menasihatkan bahawa pematuhan terhadap tarikh akhir ditetapkan adalah penting bagi mengelakkan sebarang tindakan di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, termasuk pengenaan penalti ke atas kelewatan atau kegagalan mengemukakan BN," menurut kenyataan itu.

Perkhidmatan e-Filing boleh diakses terus di https://mytax.hasil.gov.my atau melalui portal rasmi LHDN di https://www.hasil.gov.my. 

Sebagai panduan, LHDN memaklumkan bahawa pembayar cukai disaran merujuk kepada nota penerangan BN yang berkaitan sekiranya terdapat kekeliruan atau memerlukan penjelasan lanjut sebelum mengemukakan BN masing-masing.

"Pembayar cukai juga digalakkan untuk membuat semakan awal ke atas semua dokumen dan maklumat percukaian termasuk penyata pendapatan, resit serta rekod berkaitan bagi tujuan pelaporan cukai. 

"Pengisian dan pelaporan cukai hendaklah dilakukan dengan teliti bagi memastikan pengemukaan BN dibuat dengan tepat, lengkap dan teratur," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video