Skip to main content

Malaysia

Menteri Besar Pahang pula gesa Zoo Taiping bawa pulang gajah Malaysia dari Jepun

Orang Jepun sendiri sebenarnya tidak biasa melihat gajah kerana haiwan ini bukan berasal dari habitat mereka. Sebelum ini pernah ada seekor gajah bernama Cik Ubi yang dihantar ke Kyoto Zoo pada tahun 1979. Selain itu, ada juga seekor gajah Borneo yang dibawa untuk tujuan konservasi, tetapi mati pada tahun 2012.  Isu DAK ini menjadi semakin kontroversi apabila dikaitkan dengan kes sebelum ini, iaitu seekor gajah dari India yang mati akibat kemurungan selepas hidup bersendirian selama sembilan tahun sejak keh
Gajah Asia iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK) dipindahkan ke Zoo Tennoji, Osaka, Jepun melalui perjanjian B2B dengan Zoo Taiping & Night Safari pada tahun 2022. - Gambar/ FB Mazlan Zonan

KUANTAN: Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menggesa pihak Zoo Taiping & Night Safari mengambil tindakan segera membawa pulang tiga gajah Malaysia, iaitu Dara, Amoi dan Kelat yang kini ditempatkan di Tennoji Zoo, Osaka, Jepun.

Wan Rosdy berkata ketiga-tiga gajah itu wajar dibawa pulang dan ditempatkan di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di Temerloh yang disifatkan lebih sesuai dengan habitat serta keperluan semula jadi haiwan berkenaan.

Beliau berkata pusat konservasi itu mempunyai kepakaran serta persekitaran yang lebih kondusif untuk pemuliharaan dan penjagaan gajah, khususnya dari aspek interaksi sosial, ruang pergerakan dan kesejahteraan psikologi haiwan.

“Kita bertanggungjawab memastikan setiap khazanah negara dipelihara dengan sebaiknya dan dalam isu ini, tempat paling wajar bagi mereka adalah kembali ke bumi sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata isu melibatkan ketiga-tiga mamalia berkenaan tidak boleh dipandang ringan kerana ia adalah sebahagian daripada khazanah biodiversiti negara yang wajar dipelihara dengan sebaiknya.

“Berdasarkan gesaan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup serta pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat Malaysia mengenai keadaan mamalia itu di sana, saya berpandangan perkara ini tidak boleh dipandang ringan,” katanya.

Terdahulu, Arthur dilaporkan berkata cadangan pelbagai pihak termasuk NGO untuk membawa pulang tiga gajah negara bernama Dara, Amoi dan Kelat wajar dipertimbangkan secara serius. 

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video