PASIR MAS: Risiko ketika merentas Sungai Golok secara haram kini tidak lagi dipandang ringan, susulan insiden melibatkan 34 pelajar baru-baru ini yang mencetuskan perubahan ketara dalam kalangan penduduk sempadan Malaysia-Thailand.
Kejadian itu dilihat menjadi titik perubahan apabila semakin ramai penduduk, khususnya pelajar dan ibu bapa, kini beralih menggunakan laluan sah bagi urusan keluar masuk antara dua negara.
Tinjauan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang mendapati peningkatan ketara jumlah pengguna laluan rasmi, terutama pada waktu pagi apabila ibu bapa menghantar anak ke sekolah.
Timbalan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Rantau Panjang, Bakri Sulaiman berkata penggunaan laluan sah bukan sahaja mematuhi undang-undang, malah menjamin keselamatan pengguna.
“Merentas sungai menggunakan bot atau perahu secara haram amat berbahaya kerana pelbagai kejadian tidak diingini boleh berlaku termasuk risiko bot terbalik, terutama ketika cuaca tidak menentu.
“Sekiranya berlaku kemalangan, mangsa bukan sahaja berdepan risiko kehilangan nyawa, malah diibaratkan ‘mati katak’ kerana tidak dilindungi sebarang insurans atau perlindungan,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
Beliau berkata sempadan Malaysia-Thailand ialah kawasan sensitif yang perlu dihormati dan sebarang pergerakan keluar masuk perlu melalui laluan yang sah.
Bakri berkata kemudahan di ICQS yang beroperasi seawal 6 pagi membolehkan ibu bapa menghantar anak ke sekolah dengan lebih selamat dan teratur.
Dalam pada itu, perubahan sikap dalam kalangan penduduk sempadan semakin ketara apabila mereka mula mengutamakan keselamatan berbanding mengambil jalan pintas.
Seorang penduduk Hamid Ismail, 50, berkata dia tidak lagi mahu mengambil risiko selepas mengetahui kejadian melibatkan pelajar sebelum ini.
“Dulu mungkin kita fikir cepat dan mudah, tetapi sekarang sedar risikonya terlalu besar. Keselamatan anak-anak lebih penting,” katanya.
Seorang peniaga kedai makan, Hamidah Abdul Wahab, 48, berkata penggunaan laluan sah memberikan ketenangan kepada ibu bapa walaupun mengambil masa lebih lama.
“Kalau berlaku apa-apa di sungai, tiada siapa bertanggungjawab. Lebih baik ikut laluan yang betul,” katanya.
Seorang pelajar dikenali sebagai Muhammad Nabil, 16, turut mengakui perubahan itu memerlukan pengorbanan masa, namun berbaloi demi keselamatan.
“Sekarang kena bangun awal, tapi rasa lebih selamat,” katanya yang mempunyai kerakyatan Malaysia, namun menetap di pekan Sungai Golok, Thailand.
Hari ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengarahkan Ketua Pengarah Imigresen dan Ketua Polis Kelantan untuk memberikan bantuan sewajarnya kepada 34 murid warga Thailand yang dikesan merentas sempadan Malaysia secara haram, baru-baru ini.
Beliau dilapor berkata arahan itu bertujuan mempermudah urusan dokumen perjalanan murid berkenaan sekiranya mereka menghadapi masalah dokumentasi sehingga terpaksa menggunakan laluan tidak sah untuk ke sekolah.
Media sebelum ini melaporkan 34 murid dan pelajar warga Thailand yang dikesan memasuki negara ini melalui laluan tidak diwartakan di sebuah pangkalan haram dekat Rantau Panjang di sini, ditahan Ahad lepas bagi menjalani proses dokumentasi, namun dibebaskan dengan jaminan polis pada hari sama.
-- BERNAMA