Skip to main content

Malaysia

Projek RTB Sungai Muar Fasa 3 Pakej 1 kini siap 35 peratus

RTB SEGAMAT Facebook Yuneswaran Ramaraj
Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Muar Fasa 3 yang melibatkan Pakej 1 kini mencapai kemajuan pelaksanaan melebihi 35 peratus.

KUALA LUMPUR: Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Muar Fasa 3 yang melibatkan Pakej 1 kini mencapai kemajuan pelaksanaan melebihi 35 peratus.

Perkara itu dimaklumkan Ahli Parlimen Segamat, R. Yuneswaran yang melakukan tinjauan tapak Projek RTB Sungai Muar Fasa 3 melibatkan Pakej 1 dan Pakej 2.

Menerusi satu hantaran di Facebook hari ini, beliau yang juga Timbalan Menteri Perpaduan berkata, tinjauan dilaksanakan bagi memastikan status terkini projek dapat disampaikan secara sahih, tepat dan terkini kepada rakyat, khususnya penduduk di kawasan yang sering berdepan ancaman banjir.

“Banjir bukan perkara baharu bagi Segamat. Ia telah membelenggu rakyat setempat sejak sekian lama, dengan kejadian besar pada tahun 2006 dan antara yang paling buruk berlaku pada tahun 2023.

“Justeru, projek tebatan banjir berskala besar daripada Kerajaan Persekutuan ini adalah usaha penting yang mampu memberi kelegaan besar kepada rakyat,” kata Yuneswaran.

Menurut beliau, bagi Pakej 1, projek ini melibatkan kos kontrak sebanyak RM461,012,756.00 dengan kos keseluruhan mencecah RM558,983,000.00.

“Projek sepanjang 25 kilometer ini mula dimiliki tapak pada 23 Julai 2024 dan dijadualkan siap pada 22 Julai 2029,” ujarnya lagi.

Kata beliau, skop utama projek merangkumi kerja pembersihan tapak, kerja tanah, pelebaran dan pendalaman sungai, pembinaan laluan sungai by-pass, pembinaan benteng serta struktur outlet.

Antara kawasan yang bakal menerima manfaat termasuk Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Pogoh dan Kampung Chodan, melibatkan kira-kira 22,000 penduduk.

Sementara itu, beliau turut melakukan tinjauan bagi Pakej 2 di Sungai Jementah yang mana pelaksanaan projek telah dijadualkan bermula pada tahun 2024 dan dijangka siap sepenuhnya pada awal 2029.

“Namun begitu, pihak kontraktor sedang berusaha mempercepatkan kerja-kerja di tapak, dan sekiranya semuanya berjalan lancar, projek ini berpotensi untuk disiapkan lebih awal sekitar tahun 2027.

“Sepanjang tinjauan, saya berpuas hati melihat persiapan, penerangan pihak kontraktor serta kerja-kerja di tapak berjalan lancar seperti yang direncanakan.

“Kerjasama jitu antara agensi, jabatan teknikal, kontraktor serta ketua-ketua kampung yang proaktif amat membantu melancarkan pelaksanaan projek ini,” kata Yuneswaran dalam hantaran sama.

Tambah Yuneswaran, projek RTB Sungai Muar Fasa 3 dilihat bukan sekadar pembangunan infrastruktur, tetapi satu usaha penting dalam melindungi nyawa, harta benda dan masa depan penduduk Segamat daripada bencana banjir yang berulang.
 

Image
RTB SEGAMAT
Yuneswaran (tengah) berkata kerjasama jitu antara agensi, jabatan teknikal, kontraktor serta ketua-ketua kampung yang proaktif amat membantu melancarkan pelaksanaan projek ini.

Tegasnya, pemantauan berterusan akan dilaksanakan bagi memastikan projek berjalan lancar dan memberi manfaat sepenuhnya kepada rakyat, selaras dengan keutamaan terhadap kesejahteraan penduduk Parlimen Segamat.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan beliau yang turun padang menyantuni mangsa banjir di Segamat pada tahun 2023, sebelum mengumumkan peruntukan segera bagi pelaksanaan projek ini.

Must Watch Video