Skip to main content

Malaysia

Diskaun ETS, ERT bagi inisiatif MADANI30 dilanjutkan hingga 14 Mei

71765529535_TBets.jpg
Bagi tempoh perjalanan dari Mei hingga Okt 2026, sebanyak 1.2 juta tempat duduk ditawarkan di bawah inisiatif MADANI30. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Inisiatif diskaun 30 peratus melalui kod promosi MADANI30 bagi perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan Ekspres Rakyat Timuran (ERT) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dilanjutkan sehingga 14 Mei ini.

Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan lanjutan itu dibuat susulan sambutan menggalakkan daripada orang ramai, sekali gus mencerminkan kesediaan masyarakat beralih kepada pengangkutan rel yang lebih mampu milik dan mudah.

“Bagi tempoh perjalanan dari Mei hingga Okt 2026, sebanyak 1.2 juta tempat duduk ditawarkan di bawah inisiatif MADANI30, sekali gus membuka peluang yang luas kepada rakyat untuk merancang perjalanan lebih awal dengan kadar tambang yang lebih berpatutan. 

“Sehubungan itu, MOT menyeru orang ramai agar mengambil peluang ini dengan merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan perkhidmatan KTMB untuk ke destinasi pilihan,” maklum kenyataan itu. 

Menurut MOT, inisiatif itu kekal ditawarkan bagi pembelian tiket dewasa untuk semua sektor ETS serta perkhidmatan ERT laluan JB Sentral–Tumpat–JB Sentral dengan tempoh perjalanan sehingga 14 Okt tahun ini.

Diskaun itu layak dinikmati bagi perjalanan hari Isnin hingga Khamis kecuali cuti sekolah dan cuti perayaan.

MOT memaklumkan inisiatif itu merupakan sebahagian usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh agenda “Road to Rail”, iaitu peralihan penggunaan mod pengangkutan daripada jalan raya kepada rel yang lebih mampan, cekap dan mesra alam. 

“Penggunaan pengangkutan rel bukan sahaja lebih selesa dan selamat malah menyumbang kepada kelestarian alam sekitar serta mengurangkan kesesakan lalu lintas. 

“Pendekatan ini selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI dalam mengurangkan kesesakan jalan raya, jejak karbon, serta mempertingkat kualiti hidup rakyat melalui sistem pengangkutan awam yang lebih bersepadu,” menurut kenyataan itu. 

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui laman sosial rasmi KTMB serta membuat pembelian awal menerusi aplikasi KTMB Mobile, KITS Style, laman sesawang rasmi KTMB atau kios tiket di stesen terpilih.

MOT memaklumkan kerajaan terus komited untuk memperkasa ekosistem pengangkutan rel negara sebagai tulang belakang mobiliti masa hadapan Malaysia.

-- BERNAMA

Must Watch Video