KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang berhubung dan bekerjasama rapat dengan negara-negara sahabat bagi memastikan 10 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotila 2.0 (GSF) yang ditahan oleh rejim Zionis dibebaskan segera.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengutuk tindakan ganas rejim Israel terhadap misi kemanusiaan itu di perairan antarabangsa, iaitu satu pelanggaran nyata undang-undang maritim dan menyerupai tindakan lanun yang mencemari prinsip kemanusiaan sejagat.
“Malaysia mendesak agar semua pihak bertindak dengan segera dan memastikan tiada sebarang tindakan keras dikenakan terhadap semua para aktivis, termasuk 10 rakyat Malaysia yang kini ditahan dan terputus hubungan.
"Keselamatan mereka mesti dijamin tanpa kompromi," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar, yang juga Penaung Sumud Nusantara, berkata dalam situasi getir ini, ihsan serta kemanusiaan harus mengatasi segala perbezaan dan Malaysia akan terus berdiri teguh mempertahankan prinsip tersebut.
"Kepada Allah SWT kita berserah, disulam dengan usaha menyeluruh yang sedang digerakkan, semoga kesemua mereka berada dalam keadaan selamat. Doa seluruh rakyat Malaysia mengiringi Global Sumud Flotilla," kata beliau.
Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) hari ini mengesahkan enam daripada 22 kapal yang dipintas dan diceroboh tentera rejim Israel di perairan antarabangsa ketika menuju ke Gaza melibatkan 10 rakyat Malaysia.
Ketua Pengarah SNCC Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata mereka ialah Zainal Rashid Ahmad yang menaiki kapal Arkham III, Osman Zolkifli dan Dr Jihan Alya Mohd Nordin (Eros 1) serta Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Hanafi Mohd Salim, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman dan Norhelmi Ab Ghani (Bianca BCN).
Yang turut terlibat ialah Mohd Redzal Amzah dan Muhamad Muhsin Zaidi, masing-masing berada dalam kapal Freia dan Marea serta Mohd Shamsir Mohd Isa (Esplai II).
Perdana Menteri turut menyifatkan tindakan rejim Zionis itu, yang bertujuan menghentikan misi kemanusiaan GSF untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat Gaza yang berdepan penderitaan akibat konflik berpanjangan, sebagai perbuatan bacul dan gila.
“Kepada keluarga para aktivis, saya titipkan salam penuh kekuatan. Kerajaan MADANI tidak akan berdiam diri, kita sedang bekerjasama rapat dengan negara-negara sahabat bagi memastikan semua yang ditahan dibebaskan dengan segera.
“Ini adalah saat yang menguji nurani kita sebagai manusia. Kita berdoa agar segala urusan dipermudah, mereka dilindungi daripada sebarang malapetaka, dan diberikan ketabahan dalam menghadapi ujian ini,” katanya menerusi hantaran berasingan.
Anwar turut memaklumkan bahawa beliau telah berhubung dengan Sani Araby bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung penahanan para aktivis GSF.
-- BERNAMA