Skip to main content

Malaysia

Polis rampas dua lagi senjata, peluru daripada rumah mekanik di Baling

81749657109_TBPOLISPDRM.jpg
Suspek kini direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah sehingga esok bagi membantu siasatan lanjut. - Gambar hiasan

BALING: Polis merampas selaras senapang patah, sepucuk pistol tiruan serta lebih 180 butir peluru di rumah seorang mekanik yang sebelum ini ditahan kerana disyaki memiliki senjata api secara haram.

Ketua Polis Daerah Baling Supt Brandon Richard Joe berkata kesemua rampasan itu dilakukanRabu lepas hasil soal siasat terhadap suspek lelaki berusia 45 tahun yang kini masih ditahan reman.

“Suspek telah mendedahkan kewujudan senjata api yang disembunyikan. Hasil pemeriksaan, kita menemui senjata tersebut di bahagian dapur dan loteng rumah suspek. Setakat ini, keseluruhan rampasan membabitkan tiga laras senapang dan empat pucuk pistol termasuk dua pistol tiruan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek memperoleh senjata api dan peluru berkenaan sejak awal tahun lepas daripada seorang kenalan di negara jiran sebelum dibawa masuk ke negara ini melalui sempadan di Pengkalan Hulu, Perak.

“Kita masih menyiasat tujuan suspek menyimpan senjata api berkenaan. Suspek tidak mempunyai rekod permohonan lesen senjata api, namun memiliki satu rekod lampau berkaitan dadah. Ujian saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Brandon berkata suspek kini direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah sehingga esok bagi membantu siasatan lanjut.

“Setakat ini, kita juga belum dapat memastikan sama ada senjata yang dirampas pernah digunakan untuk melepaskan tembakan kerana ujian balistik masih belum dijalankan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan mekanik berkenaan ditahan pada 1 Mei lepas di sebuah bengkel miliknya di sini selepas didapati memiliki lima senjata api termasuk sepucuk pistol tiruan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video