Skip to main content

Malaysia

GST lebih berpotensi jana pendapatan negara berbanding cadangan cukai baharu - Penganalisis Ekonomi

Dr Aimi Zulhazmi
Penganalisis Ekonomi UniKL, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi berpandangan jika semua cadangan cukai baharu digabungkan, jumlah kutipan masih tidak menandingi potensi hasil yang boleh diperoleh melalui GST. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berpotensi menjadi kaedah lebih berkesan dalam meningkatkan pendapatan negara berbanding pengenalan cukai-cukai baharu secara berasingan.

Penganalisis Ekonomi UniKL, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi berpandangan jika semua cadangan cukai baharu digabungkan, jumlah kutipan masih tidak menandingi potensi hasil yang boleh diperoleh melalui GST.

"Setiap kenaikan 1% kadar GST mampu menjana sekitar RM9 bilion hasil kepada kerajaan. Sekiranya kadar GST ditetapkan pada 4% hingga 6%, jumlah kutipan dianggarkan antara RM36 bilion hingga RM54 bilion setahun.

"GST meliputi kira-kira 60% daripada aktiviti ekonomi negara, namun masih mengecualikan barangan keperluan asas termasuk sektor kesihatan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata GST juga dilihat lebih stabil dari segi kutipan hasil kerana tidak terlalu bergantung kepada sektor tertentu sahaja, berbanding cukai lain yang lebih bersasar kepada industri tertentu.

"Untuk tahun pertama itu, GST mungkin ada kesan besar kepada kadar inflasi tetapi dia 'one-off'.

"Selepas itu dia akan mendatar dan ini telah dibuktikan pada 2015," katanya lagi.

Aimi merumuskan bahawa dari sudut kecekapan kutipan hasil, GST kekal sebagai antara instrumen percukaian yang lebih efektif untuk meningkatkan pendapatan negara berbanding pengenalan pelbagai cukai baharu secara berasingan.

Beliau berkata demikian dalam Buletin AWANI Khas hari ini sebagai mengulas kenyataan Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang mencadangkan kerajaan mengembalikan semula GST.

Menurut beliau, langkah itu bertujuan memperkukuhkan asas percukaian negara, yang disifatkan tidak mencukupi untuk menghadapi sebarang krisis ekonomi atau kecemasan pada masa depan.

Khairy juga berkata dakwaan bahawa GST membebankan rakyat juga tidak tepat.

Must Watch Video