Skip to main content

Malaysia

Polis buru suspek samun bersenjata di Nibong Tebal

Mohd Norazmi Abd Ghapar
Mohd Norazmi berkata pemeriksaan forensik turut dijalankan di lokasi kejadian bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. - Gambar Facebook

NIBONG TEBAL: Polis sedang mengesan suspek yang menyerang seorang lelaki dengan parang dalam kejadian samun bersenjata di sebuah kedai serbaneka di Taman Bistari di sini, Ahad lepas, yang rakamannya tular di media sosial pada Selasa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) DSP Mohd Norazmi Abd Ghapar berkata dalam kejadian 9.29 malam itu, mangsa iaitu lelaki tempatan berusia 27 tahun mengalami kecederaan di kepala dan kedua-dua tangan.

Beliau berkata suspek kemudiannya melarikan wang tunai, beberapa kotak rokok dan sebuah beg silang dengan nilai kerugian dianggarkan RM500, manakala mangsa menerima rawatan awal di Hospital Sungai Bakap sebelum dirujuk ke Hospital Sunway Pulau Pinang dan dilaporkan stabil.

“Polis telah memperoleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berkaitan kejadian dan sedang menjalankan analisis lanjut termasuk mengenal pasti kenderaan yang digunakan suspek, yang dipercayai menggunakan nombor pendaftaran asing,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Mohd Norazmi berkata pemeriksaan forensik turut dijalankan di lokasi kejadian bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan, selain menegaskan siasatan telah dimulakan sebaik sahaja laporan diterima dan tidak bergantung kepada penularan video di media sosial.

Katanya polis mengesan video berdurasi tiga minit 18 saat berkaitan kejadian itu yang tular di Facebook semalam dan memberi jaminan siasatan dijalankan secara menyeluruh dengan usaha mengesan serta menangkap suspek sedang dipergiatkan.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan diminta menghubungi pegawai penyiasat Insp Noremifarahana Tuan Roslan di talian 04-5858222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement